Bahagian pertama Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa merupakan satu diagnosis jujur, langkah berani dan pelaksanaan kerangka kerja yang realistik.
“Sasaran pendapatan tinggi, pertumbuhan yang lebih keterangkuman dan kemakmuran lebih mampan mendapat perhatian. Pemikiran merupakan bahagian penting tetapi ini hanya bahagian pertama,” demikian menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar.
Beliau berkata terdapat dua keadaan yang penting untuk kejayaan, yang memang diketahui oleh Perdana Menteri.
“Yang pertama ialah kemampuan melaksanakan dengan berkesan. Keduanya keperluan untuk mendapat sokongan yang mencukupi daripada rakyat,” katanya.
“Khazanah, syarikat-syarikat kami dan pelbagai program yang kami kendalikan akan memperhebatkan usaha kami serta mengukuhkan di bawah lima bidang sebagai menyokong MEB,” kata Azman.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) Datuk Zamzamzairani Mohd Isa merasakan bahawa MEB yang diumumkan hari ini memandang jauh ke hadapan, mesra perniagaan dan menyeluruh.
“Ia meliputi semua peringkat masyarakat dan semua sektor ekonomi,” kata beliau.
“Perkara utama yang jelas daripada MEB ialah Malaysia perlu bergerak naik dalam rangkaian nilai untuk kita mencapai kedudukan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi,” kata Zamzamzairani.
“Perdana Menteri menyebut bahawa Aktiviti Ekonomi Utama Negara akan menjadi enjin pertumbuhan termasuk minyak dan gas, elektronik dan elektrik, pelancongan, pertanian dan perkhidmatan kewangan,” katanya.
“Bagi kami, ia tepat pada masanya memandangkan kami telah melancarkan UniFi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kami baru-baru ini. UniFi akan menjadi pemboleh kepada sektor-sektor ini untuk merealisasikan potensi produktiviti.”
Zamzamzairani berkata perkembangan teknologi dan inovasi memainkan peranan penting untuk industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk membentuk kelebihan dalam pasaran global yang semakin kompetitif.
“Dengan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi kami, Malaysia mempunyai akses kepada platform yang akan merangsang inovasi dan kreativiti untuk kandungan kami dan industri aplikasi,” katanya.
Zamzamzairani berkata TM bekerja secara agresif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang telah ada di pasaran dan akan terus menambah baik jalur lebarnya untuk penduduk negara ini, Streamyx, supaya semua warga Malaysia dengan cara mereka sendiri dapat mengambil peranan dalam MEB.
“Saya yakin, tiga prinsip utama yang muncul dalam MEB iaitu pendapatan tinggi, kemampanan dan keterangkuman, akan memacu perkembangan ekononmi dan masa depan yang mampan untuk Malaysia,” katanya.
“Bagi TM, syarikat akan terus memainkan peranannya dalam menyokong usaha kerajaan sebaik mungkin.”
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC) Datuk Badlisham Ghazali berkata pengumuman awal MEB mengesahkan bahawa insiatif MSc Malaysia yang ada selama ini merupakan ujian kepada inovasi dan kreativiti dalam ekonomi baru.
Tumpuan awal MSC Malaysia terhadap kewujudan kekayaan, menyampaikan nilai yang lebih tinggi dan penjanaan pendapatan yang lebih tinggi melalui ICT merupakan ciri MEB, katanya dalam satu kenyataan.
Pengenalan MEB adalah serentak dengan fasa ketiga dan akhir MSC Malaysia mulai 2011 hingga 2020 yang memberi tumpuan terhadap memperkayakan semua sektor eokonomi negara serta menjadikan semua rakyat mendapat faedah dan melalui ICT, kata Badlisham.
Beliau berkata Perdana Menteri juga menyebut yang pertumbuhan bukan hanya diraih daripada modal tetapi juga produktiviti yang lebih besar melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, kerjasama yang lebih baik dan penjenamana yang lebih kukuh.
Antara pencapaian dalam MSC Malaysia ialah JCY Bhd yang disebut Najib sebagai contoh yang membanggakan aktiviti sektor swasta yang bermula secara kecil-kecilan dan kini menghasilkan 25 peratus daripada pemacu cakera keras dunia.
JCY mempunyai 4,117 pekerja dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada Februari tahun ini, menyertai 57 syarikat berstatus MSC Malaysia yang lain yang disenarai awam sejak pewujudan Inisiatif ICT Nasional pada 1996, kata Badlisham.
“Kita mempunyai 238 syarikat bertaraf dunia, 147 daripadanya syarikat Malaysia. Sasaran kami ialah untuk mewujudkan tiga ikon global menjelang 2015, setiap satu dengan perolehan tahunan lebih AS$500 juta dan dengan bahagian pasaran dominan dalam pasaran khusus yang kami tawarkan,” katanya.
Dalam fasa kedua MSC Malaysia, MDeC memulakan program bagi memudahkan urusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara elektronik.
Badlisham berkata syarikat-syarikat MSC boleh menyediakan penyelesaian bagi membantu melaksanakan inisiatif kerajaan yang baru seperti verifikasi MyKad untuk golongan yang layak mendapat subsidi.
Penyelesaian perakaunan, sistem dari permulaan jualan yang merupakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bersedia untuk dilancarkan oleh syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia bagi melaksanakan inisiatif itu apabila ia bersedia untuk dilaksanakan, katanya.
Beliau berkata 190 syarikat Kluster Multimedia MSC Malaysia mencatatkan perolehan sebanyak RM4 bilion dan RM186 juta dalam eksoort tahun lepas.
– BERNAMA
Popularity: 1%
yup..its a great progress for MEB and really reflect the current existing stable industry..such as oil and gas and etc..but i juz wonder hw ’bout the progress of biotechnology sector especially for biopharmaceuticals, pharmaceuticals which i think had been given a focus previously..