KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Bangunan-bangunan kerajaan di masa depan akan direkabentuk bercirikan “bangunan hijau”, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.
Perubahan itu, katanya selaras dengan usaha untuk mengurangkan kos pengurusan bangunan selain membantu mengurangkan masalah pemanasan global.
Bagi mencapai hasrat itu Jabatan Kerja Raya dan Pertubuhan Arkitek Malaysia disaran menyediakan reka bentuk bangunan yang mudah diselenggara, rendah daripada segi guna tenaga dan murah daripada segi kos pengurusannya.
“Kos pengurusan sesebuah bangunan adalah tinggi, jadi pembinaan bangunan bercirikan bangunan hijau akan membantu mengurangkan kos operasinya. Contohnya reka bentuk tingkap dan meletakkan di tempat sesuai dengan mengambil kira faktor kemasukan sinaran matahari boleh mengurangkan penggunaan lampu yang banyak. Ini akan menjimatkan penggunaan elektrik dan menghindarkan suhu bilik menjadi panas walaupun pendingin hawa tidak dipasang pada suhu yang rendah.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Green Building Index Malaysia (GBI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, Shaziman yakin aplikasi ciri bangunan hijau akan memberi kelebihan kepada kerajaan.
Menteri Kerja Raya itu berkata kerajaan serius dalam usahanya mengekalkan persekitaran hijau dan selesa, sehingga mewujudkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan bebas pencemaran.
Shaziman berkata GBI dibangunkan oleh Pertubuhan Akitek Malaysia dan Persatuan Jurutera Perunding Malaysia bagi menggalakkan alam sekitar pembinaan mapan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pemaju, arkitek, jurutera, perancang, perekabentuk, kontraktor dan orang ramai mengenai isu-isu alam sekitar.
Beliau berkata GBI merupakan kaedah penarafan hijau bagi membantu mereka yang terbabit dalam sektor pembinaan dan hartanah supaya lebih mesra alam sekitar.
Penarafan akan disemak semula pada setiap tiga tahun bagi memastikan bangunan diselenggara dengan baik dan beroperasi mengikut kaedah ia direkabentuk.
– BERNAMA
Popularity: 4%