MELBOURNE, 15 Jun (Bernama) – National Bank of Australia (NAB) merancang memperkenalkan pinjaman mesra Islam yang tidak mengenakan caj faedah, untuk mematuhi undang-undang syariah.
Bank itu akan menstruktur pembiayaan yang diluluskan Islam untuk menjana wang dari kaedah alternatif yang termasuk perkongsian keuntungan transaksi, usahasama, atau peraturan jenis pemajakan, kata akhbar Daily Telegraph.
Sebagai contoh, untuk mengelakkan perbuatan riba yang dilarang Islam atau pemberian pinjaman yang tidak adil – sistem gadai janji Islam yang akan dilaksanakan oleh bank ialah dengan membeli sesuatu hartanah, yang kemudiannya menjualkannya kepada pelanggan pada satu tahap keuntungan, di mana pelanggan itu membayar semula keseluruhan jumlah itu secara ansuran.
“Melalui cara ini, margin keuntungan ditetapkan dari awal. Ia juga mempunyai kelebihan di mana pinjaman berkenaan tidak terlibat dengan kenaikan kadar faedah, kata akhbar itu.
Pinjaman itu, kata NAB, yang bakal dimulakan secara kecil-kecilan, perlu mendapat kelulusan Badan Penasihat Syariah bagi memastikan ia mematuhi kriteria ketat sebelum ditawarkan kepada orang ramai.
“Kami berharap untuk menawarkan produk ini di kawasan yang didiami ramai penduduk Islam,” kata Ketua Pembiayaan dan Pembangunan Komuniti NAB Richard Peters kepada Daily Telegraph.
“Kami rasa ada permintaan di kawasan berkenaan tetapi tidak tahu berapa besar, Jadi kami mencuba beberapa produk dahulu.”
Bagi tujuan percubaan, NAB akan menyuntik A$15 juta dari bahagian pembiayaan bukan untuk mendapatkan keuntungan ke dalam program itu, yang akan mengagihkan dana melalui pelbagai skim pembiayaan komuniti di seluruh negara itu. Bank itu akan memantau sambutannya dan menilai permintaan yang berpotensi.
Pinjaman tanpa faedah sehingga A$1,000 akan disediakan untuk membantu membiayai barang-barang isi rumah, seperti mesin basuh dan peti sejuk. Pinjaman itu akan turut disediakan kepada bukan Islam, kata akhbar itu.
Langkah itu diumumkan beberapa hari selepas Penolong Bendahari Persekutuan Chris Bowen berkata Australia akan meneroka permintaan antarabangsa untuk mendapatkan pembiayaan Islam bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
– BERNAMA