Your search results

Bank Dunia Yakin Terhadap Sektor Perbankan Malaysia

Dikirim Oleh terkini on 23/12/2013
| 0

04-17-2013worldbankWorld Bank Group yakin terhadap sektor perbankan Malaysia, dan berkata sektor itu kini bersedia untuk mencapai pertumbuhan selanjutnya tahun depan, dengan prospek dan keuntungan yang kukuh.

Pakar Ekonomi Kewangan Kanan, Jose de Luna Martinez, berkata Bank Dunia menganggap Malaysia sebagai satu kisah kejayaan dari segi keterangkuman kewangan dan kualiti kawalan atur dan kawalan selia perbankan.

Beliau yang juga Naib Presiden Pembangunan Sektor Kewangan dan Swasta, berkata Malaysia sedang berada di landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan sistem kewangan akan memainkan peranan penting dalam mencapai cita-cita ini.

“Sistem perbankan Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

“Ekonomi dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga lima peratus pada 2014, yang akan memberi peluang bagi peluasan bank, sama ada dalam pasaran domestik mahupun serantau,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Bank Dunia yakin terhadap langkah-langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani risiko yang bakal timbul dengan berkesan,” katanya.

Malaysia menduduki tempat teratas dalam penerbitan ‘Doing Business’ Bank Dunia dari segi kemudahan mendapatkan kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Sementara itu, Moody’s Investors Service, dalam nota terbarunya, memberikan prospek stabil kepada sistem perbankan Malaysia bagi tahun depan.

Persekitaran operasi industri diberikan penarafan stabil meskipun terdapat kebimbangan tentang pinjaman isi rumah yang semakin meningkat, katanya, sambil menambah bahawa bank-bank di negara ini tidak menghadapi banyak tekanan mudah tunai kerana kebanyakannya membiayai perniagaan masing-masing dengan menggunakan deposit.

Keuntungan juga akan kekal stabil bagi bank-bank kerana pertumbuhan pinjaman dan pendapatan daripada fi dijangka cukup kukuh untuk mengimbangi tekanan margin dalam sistem, kata agensi penarafan itu.

Dalam notanya, Alliance Research berkata prospek sektor ini terus cerah, dan pada masa yang sama ia mengulangi saranan ‘overweight’nya.

Firma penyelidikan itu berkata asas-asas dasaran dalam sektor perbankan domestik terus kukuh dan tahap pegangan saham asing masih rendah.

Ia berkata tema penggabungan dan pengambilalihan sekarang untuk merancakkan sektor ini tahun depan dan nilaian saham-saham perbankan terpilih adalah berpatutan pada tahap sekarang.

“Kami terus optimis dengan prospek perolehan bank tahun depan, dengan sokongan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2014 yang lebih kukuh, pertumbuhan berpatutan pinjaman sebanyak sembilan peratus, pendapatan bukan faedah yang semakin meningkat dan kualiti aset yang teguh,” katanya.

Bagi 2013, industri perbankan Malaysia memperlihatkan prestasi yang baik meskipun dalam keadaan turun naik dalam pasaran global, terutamanya dengan kebimbangan yang semakin meningkat tentang ketidaktentuan langkah pengurangan beransur-ansur suntikan mudah tunai Rizab Persekutuan AS.

Antara perkembangan utama ialah pada 5 Julai, BNM memperkenalkan tiga langkah baharu untuk membendung hutang isi rumah yang semakin meningkat — mengurangkan tempoh maksimum bagi pinjaman peribadi kepada 10 tahun, manakala pinjaman perumahan kepada tidak lebih daripada 35 tahun, serta menyekat tawaran bagi pinjaman peribadi yang telah diluluskan terlebih dahulu.

Pada 15 November, sempena pengumuman perangkaan ekonomi suku ketiga, Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata langkah-langkah yang diambil berkesan mengurangkan kadar hutang isi rumah.

BNM mengumumkan bahawa peningkatan nisbah hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar telah menjadi perlahan sedikit kepada 2.5 peratus dalam suku ini, berbanding 3.2 peratus dalam tempoh sebelumnya.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.