Bank Negara Kekal OPR Pada 2 Peratus

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa iaitu dua peratus.

Ini merupakan kali keempat bank pusat mengekalkan OPR pada paras yang sama, dengan menyatakan pendekatan dasar monetari sekarang sesuai dan akan terus menyediakan sokongan bagi aktiviti ekonomi.

BNM mengumumkan keputusan itu dalam satu kenyataan susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) yang diadakan di sini, awal hari ini.

Bank pusat itu berkata sejak MPC terakhir pada Julai, terdapat lebih banyak tanda-tanda bahawa keadaan ekonomi dan kewangan global telah bertambah baik.

“Aktiviti ekonomi di beberapa negara maju dan serantau mula pulih secara beransur-ansur berikutan pelaksanaan langkah-langkah fiskal dan monetari yang ketara,” kata bank pusat itu.

Bagaimanapun, ia berkata pemulihan ekonomi dijangka mengambil masa memandangkan beberapa ekonomi tersebut sedang melalui pelarasan struktur seterusnya.

Mengenai ekonomi dalam negeri, BNM berkata ia dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini dan hingga ke 2010, susulan pemulihan permintaan dalam negeri di tengah-tengah suasana ekonomi global yang stabil.

Mengenai inflasi, bank pusat berkata inflasi negatif dijangka bersifat sementara dan diunjur kembali positif apabila keadaan dalam negeri bertambah kukuh.

BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Ogo 25th, 2009 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Reaksi atau komen ditutup, tetapi anda boleh menjejak balik dari web anda.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Komen ditutup