Bank Negara Naikkan OPR Sebanyak 25 Mata Asas Kepada 2.25 Peratus

bank-negaraJawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Khamis memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus.

Di dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata koridor kadar terendah dan tertinggi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.0 peratus dan 2.50 peratus.

Berdasarkan prospek ekonomi negara yang lebih baik ini, MPC memutuskan untuk menyelaraskan OPR sejajar dengan matlamat untuk mengembalikan keadaan monetari kepada kedudukan yang lebih wajar, dan juga untuk mengelakkan timbulnya risiko ketidakseimbangan kewangan yang boleh menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara, katanya.

Menurut BNM, pada paras OPR yang baharu ini, pendirian dasar monetari akan terus akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya pemulihan di dalam keadaan ekonomi global yang semakin menggalakkan berikutan sokongan dasar yang berterusan dan keadaan kewangan yang bertambah baik.

Aktiviti ekonomi di dalam ekonomi-ekonomi maju telah meningkat meski pun pertumbuhan dijangka kekal sederhana, tetapi ekonomi-ekonomi pasaran yang sedang pesat membangun mencatat pemulihan yang lebih kukuh, kata BNM.

Ekonomi-ekonomi serantau, khususnya, berkembang dengan kukuh pada suku keempat 2009 dan momentum pertumbuhan dijangka berterusan, katanya.

Bagi ekonomi dalam negeri, BNM berkata prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku keempat 2009 mengesahkan bahawa pemulihan ekonomi adalah mantap.

Melangkah ke hadapan, katanya pertumbuhan dijangka terus bertambah kukuh dan disokong oleh permintaan dalam negeri dan peningkatan yang berterusan dalam permintaan luar, terutama dari ekonomi serantau.

Sebagai mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan pelarasan yang mungkin dibuat terhadap harga ditadbir, bank pusat itu menyatakan bahawa paras harga akan meningkat secara beransur-ansur sepanjang tahun ini.

Sementara itu, katanya, faktor luaran yang termasuk kenaikan harga komoditi dan bahan makanan global, dijangka menyebabkan tekanan menaik terhadap harga dalam negeri, inflasi bagi tahun ini dijangka terus sederhana.

OPR telah dikurangkan ke paras terendah dalam sejarah pada awal tahun 2009 sebagai langkah utama untuk mengelakkan daripada berlakunya kelembapan ekonomi yang sangat buruk, katanya.

Namun, katanya ekonomi negara tidak lagi menghadapi keadaan sedemikian.

Menurutnya, ekonomi negara kini menjadi bertambah baik dan sedang melalui proses pemulihan.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mac 4th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



3 Ulasan Dari “Bank Negara Naikkan OPR Sebanyak 25 Mata Asas Kepada 2.25 Peratus”

  1. Ida berkata:

    namapk gaya BLR pon naik ke?..hmmm

  2. Noor Bayati berkata:

    nampak gaya gitu lah…

  3. Hashim berkata:

    lebih baik ambik loan fixed rate.


Tinggalkan ulasan anda