
Bank Malaysia
Sektor perbankan Malaysia dijangka stabil tahun ini hasil daripada pembaharuan kewangan yang dilaksanakan beberapa tahun lepas, kata ketua penarafan institusi kewangan RAM Ratings, Promod Dass Selasa.
Dasar monetari akomodatif kerajaan dan kewaspadaan Bank Negara Malaysia semasa kegawatan kewangan global baru-baru ini telah berjaya melindungi sistem perbankan Malaysia, kata Promod.
Dengan berakhirnya krisis, beliau berkata dasar monetari negara kemungkinan beralih kepada kadar biasa dan pada masa yang sama mengekalkan persekitaran yang menguntungkan untuk para peminjam.
“Kemungkinan terdapatnya potensi kenaikan tambahan 50 hingga 75 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) tahun ini tetapi ia akan berlaku secara berperingkat,” kata beliau kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai institusi kewangan.
Pada awal bulan ini, bank pusat telah menaikkan OPRnya sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus seiring dengan tinjauan ekonomi yang kian baik.
Promod berkata walaupun terdapat kemungkinan adanya peminjam akan terjejas, kenaikan dalam OPR tidak akan memberikan kesan yang ketara.
Beliau berkata memandangkan kos pinjaman akan naik seiring dengan kenaikan dalam OPR yang dibayangkan tahun ini, kualiti aset industri akan kekal sihat kerana pinjaman tidak berbayar (NPL) dijangka terus kukuh pada tiga hingga empat peratus.
Dengan kualiti aset yang lebih baik dan pendapatan yang mapan, Promod berkata permodalan sistem perbankan tempatan telah meningkat dan ini akan terus menyokong pengembangan pinjaman tahun ini yang dijangka mengukuh pada lapan hingga 10 peratus.
“Kami menjangkakan peningkatan dalam pinjaman kepada korporat dan perusahaan kecil dan sederhana pada tahun 2010. Tetapi pinjaman pengguna akan kekal menjadi penyumbang utama sektor perbankan,” kata beliau.
Mengenai bank-bank Islam, Promod berkata usaha oleh Bank Negara untuk mempromosikan kewangan Islam kini telah menunjukkan hasil.
Menurut beliau, bank-bank Islam dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman dua digit tahun ini.
Sudah pastinya, perbankan Islam kini merupakan segmen yang menguntungkan dan berkembang dalam arena perbankan Malaysia, mewakili 16.4 peratus daripada keseluruhan aset sistem perbankan domestik setakat akhir 2009, kata beliau.
“Kami menyaksikan pertumbuhan selanjutnya untuk bank-bank Islam. Bank-bank Malaysia dengan francaisi perbankan Islam dalam lingkungan sesama mereka yang menceburi pasaran serantau juga mempunyai peluang untuk membawa kepakaran mereka ke seberang laut,” tambah beliau.
– BERNAMA
Popularity: 1%