
Gambar Hiasan
Keuntungan sebelum cukai Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi 2009 meningkat kepada RM467 juta berbanding RM233 juta pada 2008, manakala perolehan meningkat kepada RM1.209 bilion berbanding RM1.041 bilion sebelumnya.
Mengumumkan keputusan itu pada sidang media di sini Isnin, Pengurus Besar yang juga Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata keputusan kewangan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh, pendahuluan dan pembiayaan.
Jumlah aset bank juga meningkat kepada RM18.738 bilion berbanding RM16.728 bilion pada 2008, dirangsang oleh peningkatan 49.2 peratus dalam pinjaman konvensional dan portfolio pembiayaan Syariah.
“Kami perlu meningkatkannya kepada RM20 bilion pada 2010,” kata Adinan.
Pinjaman tidak berbayar (NPL) bank berada pada kedudukan 1.8 peratus sehingga akhir 2009.
Menurut Adinan, pertumbuhan yang sihat juga dilihat dalam aktiviti pembiayaan Islam, melonjak kepada RM4.296 bilion tahun lepas berbanding RM1.014 bilion sebelumnya.
Bank juga mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion pada 2010.
Bagi tahun semasa, beliau berkata BSN akan terus meluaskan kehadiran perniagaannya dengan mempelbagaikan produk dan meningkatkan perkhidmatan.
Antara lain, BSN merancang meneroka perbankan tanpa cawangan dalam usaha melancarkan Perbankan Internet sebagai saluran alternatif, katanya.
Dalam kewangan mikro, BSN merancang meluaskan rangkaian cawangan dengan tambahan empat pusat baharu, dan menambah bilangan petugas bagi meningkatkan pertumbuhan.
Sehingga April 2010, sejumlah RM36.77 juta diluluskan untuk pembiayaan mikro, dengan RM36.29 juta sudah diagihkan.
BSN juga merancang membuka cawangan penuh perbankan Islam dengan setiap negeri mempunyai tiga cawangan.
Adinan berkata RM10 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.
– BERNAMA
Popularity: 1%