KUALA LUMPUR, 9 Sept — Kumpulan CIMB sedang meneliti urusan jualan dan pajakan semula hartanya, kata Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Tun Razak.
“Kami telah berunding dengan beberapa pembeli berpotensi dan mereka merupakan pelabur yang berpotensi dari segi kewangan,” katanya.
Menurut Nazir, transaksi bagi kesemua bangunannya, terutama sekali cawangan CIMB dan sesetengah pejabat yang lain, akan diselesaikan menjelang suku keempat tahun ini atau suku pertama 2010.
Awal tahun ini, kumpulan itu telah menandatangani satu perjanjian dengan Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd (PHBB) bagi jualan dan pajakan semula Menara Bumiputera Commerce yang baharu setinggi 39 tingkat dengan keluasan 630,000 kaki persegi itu.
Kumpulan itu kini merupakan satu-satunya kumpulan yang berada di bangunan itu, katanya.
“Transaksi dengan PHBB bernilai RM460 juta. Selain itu, kami membelanjakan kira-kira RM80 juta bagi menaik taraf bahagian dalaman,” katanya kepada pemberita selepas bangunan itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Menara Bumiputra-Commerce, yang bernilai RM400 juta itu, dibina oleh IJM Corp Bhd. Pembinaannya bermula pada Oktober 2004 dan selesai awal tahun ini.
Ia akan menjadi ibu pejabat perbankan komersil, francais Kumpulan CIMB, CIMB Bank dan CIMB Islamic.
Nazir berkata cabang perbankan pelaburan dan pasaran modal akan ditempatkan di Menara CIMB, yang sedang dalam pembinaan di Kuala Lumpur Sentral.
Katanya pembinaan akan diselesaikan pada 2012.
Nazir berkata hari ini juga menandakan penyiapan urusan penjenamaan semula cawangan pelbagai tahun Kumpulan CIMB.
“Rangkaian runcitan terbesar (bank) Asia Tenggara yang mempunyai 1,150 cawangan di seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand itu kini menggunakan ikon CIMB, yang berwarna merah dan hijau serta rupa dan cita rasa cawangan yang konsisten,” katanya.
– BERNAMA
Popularity: 1%