PUTRAJAYA, Cukai keuntungan hartanah kini hanya terpakai kepada hartanah yang dijual dalam tempoh lima tahun daripada pembelian, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata cukai lima peratus itu akan dikenakan ke atas mereka yang menjual hartanah kurang daripada lima tahun selepas mereka membelinya manakala pengumuman dalam Bajet 2010 menyaksikan cukai itu dikenakan ke atas semua hartanah yang dijual.
Katanya keputusan itu akan mengakibatkan kerajaan melepaskan kira-kira RM200 juta daripada segi pendapatan.
“Dasar ini juga diputuskan memandangkan kerajaan ingin melihat pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor hartanah tahun depan.
“Kami bersedia untuk melepaskan jumlah pendapatan yang sangat banyak supaya sektor ini dapat berkembang dan terus subur,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah penjawat jawatan Persatuan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia Hua Zong bagi penggal 2009-2011 di Hotel Marriott di sini Rabu malam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Presiden Hua Zong Tan Sri Pheng Yin Huah.
Najib berkata keputusan itu dibuat berikutan permohonan daripada sektor perniagaan dan Hua Zong.
“Saya telah memberi perhatian kepada beberapa permintaan yang munasabah, wajar, adil… kerajaan akan memberikan pertimbangan positif,” katanya.
Beliau berkata sektor hartanah telah pun menunjukkan peningkatan tetapi kerajaan berpendapat sektor berkenaan memerlukan dorongan selanjutnya supaya ia dapat terus berkembang dan menjadi semakin kukuh.
“Kami telah pun memenuhi satu daripada permintaan Hua Zong dan kami harap mereka akan memberi respon sewajarnya melalui kerjasama yang lebih rapat dengan kerajaan di masa hadapan,” katanya.
Najib turut mengumumkan bahawa hotel yang membuat pelaburan tambahan untuk mengubahsuai, membersih dan memperluaskan premis mereka akan menikmati elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun, bermakna ia kini dilanjutkan sehingga 15 tahun.
Beliau berkata langkah itu bertujuan menggalakkan sektor hartanah melaksanakan peranan yang lebih besar dalam industri pelancongan negara yang mencatatkan kedatangan pelancong berjumlah 22 juta orang tahun ini.
Perdana Menteri berkata mengenai aspek pendidikan, beliau akan menanganinya bersama-sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
“Kami akan melakukan apa yang sesuai untuk masyarakat Cina dan negara ini,” katanya.
Najib berkata semua kaum boleh memperjuangkan kepentingan mereka tetapi tidak sehingga menjejaskan kepentingan pihak lain.
“Saya percaya ada banyak ruang dan kebebasan untuk kita berjuang demi masyarakat kita. Kaum Cina boleh berjuang untuk masyarakat Cina, kaum Melayu boleh berjuang untuk masyarakat Melayu dan kaum India pula boleh berjuang untuk masyarakat India.
“Namun semuanya tidak sehingga menjejaskan masyarakat lain,” kata Perdana Menteri.
Najib berkata beliau ingin bekerjasama rapat dengan Hua Zong dan kehadiran beliau pada majlis makan malam ini merupakan isyarat jelas bahawa kerajaan mahu bekerjasama rapat dengan masyarakat Cina menerusi Hua Zong.
– BERNAMA
Popularity: 1%
ini keputusan yg tepat drp krjn… kalau nak pastikan sektor industri berkerbang pesat.
ini keputusan yg tepat drp krjn… kalau nak pastikan sektor industri hartanah berkembang pesat.