Cyberjaya Bersedia Untuk Pembangunan Rancak, Kata Pengarah Urusan Cyberview

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Cyberjaya, nukleus MSC Malaysia, mempunyai masa depan yang cerah dengan pembangunan yang rancak dalam masa lima tahun akan datang, kata Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Hafidz Hashim.

“Tahun ini merupakan tahun yang agak sibuk bagi Cyberview dan pemaju bersamanya.

“Kami menerima banyak pertanyaan daripada bakal pelabur, pembeli dan peserta hartanah kerana tumpuan pasaran beralih ke Cyberjaya.

“Kekangan ruang di Kuala Lumpur menyaksikan lebih banyak perniagaan beralih ke Cyberjaya,” kata beliau kepada Bernama di luar acara Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT 2010) di Amsterdam.

Pada masa ini, hanya kira-kira 40 peratus daripada kawasan Cyberjaya yang seluas 2,885 hektar telah dimajukan.

Cyberview, pemilik tanah Cyberjaya, diperbadankan pada 10 Okt, 1996.

Pemegang sahamnya pada masa ini termasuk MOF Inc (75 peratus), Multimedia Development Corp (10 peratus), Sime Darby Bhd (10 peratus) dan Permodalan Nasional Bhd (lima peratus).

Hafidz berkata Cyberview, bersama-sama dengan pemaju bersamanya, kini terlibat dalam pelbagai projek dengan tiga daripadanya di peringkat akhir penyiapan.

Projek pertama ialah Hab Teknologi Maklumat Global Hewlett-Packard (HP), yang apabila siap dalam masa dua bulan akan datang, akan menempatkan lebih 4,000 pekerja.

Mengenai kos, Hafidz berkata sebagai projek berimpak tinggi, kemudahan disediakan oleh kerajaan dengan HP mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Projek kedua ialah bangunan seluas 80,000 kaki persegi, SME Technopreneur Centre 3 (SME3), yang boleh menempatkan 16 syarikat.

Beliau berkata bangunan SME1 dan SME2 mempunyai kadar penghuni sebanyak 99 peratus dan apabila siap SME3 dalam masa dua bulan nanti, jumlah ruang pejabat adalah lebih 250,000 kaki per segi.

Projek ketiga pula ialah Pusat Pembangunan Pekerja Berpengetahuan Fasa 2, program latihan untuk pekerjaan perindustrian yang juga dijadualkan siap dalam masa dua bulan.

Beliau berkata Cyberview akan membina bangunan seluas 40,000 kaki persegi yang akan bertindak sebagai pusat inkubasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengenai projek-projek oleh pemaju, beliau berkata mereka termasuk pembangunan perumahan oleh Mah Sing Group, UEM Land Bhd dan Sun Track Sdn Bhd.

“Projek-projek ini akan meningkatkan jumlah unit kediaman di Cyberjaya dan akan diserahkan kepada pembeli pada 2012,” katanya.

Sementara itu, Cyberjaya telah membina 2,900 rumah bagi memenuhi keperluan pada masa ini dan 2,300 unit lagi dalam perancangan termasuk perumahan khaa untuk pekerja dalam perbandaran itu.

Projek lain, kata Hafidz termasuk Bangunan Shell oleh Emkay Group serta sub pembangunan bersepadu dikenali sebagai Shaftsbury Square.

“Shaftsbury akan mempunyai 150 unit kedai gaya hidup, tiga menara pejabat dan dua blok SOHO/pangsapuri berperkhidmatan,” katanya dan menambah bahawa pembangunan dua tahun di kawasan seluas 5.2 hektar oleh Ikhasas Sdn Bhd itu akan bermula tahun ini.

Hafidz berkata satu daripada inisiatif Cyberview, selain daripada infrastruktur bangunan adalah Program Penempatan dan Latihan Graduan, yang kini masuk tahun ketiga.

“Program berkenaan melibatkan latihan untuk graduan baru dan menempatkan mereka di syarikat-syarikat atau PKS di Cyberjaya selama enam bulan. Kadar kejayaan mendapat pekerjaan ialah 90 peratus,” katanya.

Satu lagi inisiatif, kata beliau ialah televisyen Internet, yang akan bertindak sebagai TV komuniti.

“Bakal beroperasi sepenuhnya tahun ini, Cyberjaya boleh menjangkakan banyak acara komuniti melalui TV komuniti ini,” katanya.

Beliau berkata MyCore, atau Malaysia Cybergames Operation & Research, merupakan satu lagi inisiatif yang meningkatkan industri permainan dan permainan digital Internet.

“Ini dilaksanakan dengan kerjasama AMD bagi meningkatkan industri permainan di Malaysia dan menjana perolehan,” katanya.

Juga yang bakal dilaksanakan tahun ini, kata beliau ialah zon khusus untuk WiFi di Cyberjaya.

Hafidz berkata harga tanah di Cyberjaya juga telah meningkat 40 peratus.

“Kami masih mendapat minat yang kukuh walaupun dalam keadaan ini kerana kami percaya kami mempunyai lokasi yang baik dari segi perbandaran baru. Kami disambungkan dengan baik dengan lebuh raya dan landasan rel serta hampir dengan lapangan terbang dan KL,” katanya.

Beliau berkata Cyberjaya mempunyai infrastruktur bertaraf dunia dengan harga tanah dan sewa yang kompetitif.

“Ini merupakan nilai yang syarikat-syarikat akan tinjau selain sebagai tanah pegangan bebas yang mewujudkan permintaan yang baik daripada pasaran.

“Sebagai contoh, studio KRU akan membawa banyak kelebihan dan tarikan kepada Cyberjaya untuk industri kreatif,” katanya.

Mengenai kenapa hanya 40 peratus daripada Cyberjaya dibangunkan selama 14 tahun lepas, katanya negara berdepan dengan dua kemelesetan ekonomi serta isu dotcom dan ini mempengaruhi pertumbuhan.

Beliau berkata pasaran dipacu secara swasta dan cabaran adalah untuk memasarkan perbandaran.

“Sasaran ialah pasaran antarabangsa. Cyberview menerima banyak pertanyaan daripada PKS dan multinasional Eropah semasa WCIT, memandangkan kebanyakan mereka mengetahui Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Popularity: 4%


Dikirim Oleh on Jun 16th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda