SHAH ALAM, — Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Isnin meluluskan bajet tambahan sebanyak RM392 juta kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk membeli hutang Kumpulan Talam daripada kerajaan negeri, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Geran ini membolehkan MBI membeli hutang Talam bernilai RM392 juta daripada kerajaan negeri, yang sekali gus membolehkan ia mengambil alih mengutip hutang Talam daripada tiga anak syarikat negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Yayasan Pendidikan Selangor, katanya pada sidang media di sini selepas persidangan DUN, hari ini.
Syarikat perumahan itu berhutang RM392 juta dengan tiga anak syarikat kerajaan negeri itu dalam pelbagai usaha sama pembangunan hartanah sepanjang 10 tahun lepas, katanya.
“Mulai sekarang, MBI boleh melaksanakan rancangannya bagi memastikan Talam membayar hutang mereka dan keseluruhan kutipan itu dijangka mengukuhkan dana kerajaan negeri,” kata Abdul Khalid.
Sebelum ini, amaun hutang itu tidak pernah diiktiraf sepenuhnya atau direkodkan dalam akaun anak-anak syarikat kerajaan negeri selaku sipemiutang, katanya.
Abdul Khalid berkata: “Kerajaan Negeri sebelum ini tidak pernah membuat apa-apa usaha untuk pengutipan hutang, dan jika tiada tindakan dibuat segera, mungkin hutang piutang itu dilupuskan begitu sahaja.”
Dengan kelulusan bajet tambahan ini, ia akan memudahkan MBI mengutip hutang daripada Talam dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan membantu Talam dalam projek pembangunannya bagi membolehkannya membayar hutang kepada kerajaan negeri, namun jika gagal, syarikat itu tidak boleh menjalankan pembangunan di Selangor.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan bertindak ke atas tiga atau empat syarikat lagi bagi mengutip hutang-hutang mereka.
Beliau berkata banyak lagi hutang-hutang syarikat kepada kerajaan negeri yang belum dikutip dan kerajaan negeri sebenarnya mempunyai banyak sumber yang boleh diperoleh.
Abdul Khalid berkata Bajet 2010 akan dibentangkan esok kerana sidang hari ini ditumpukan untuk membahaskan dan meluluskan bajet tambahan untuk MBI.