Your search results

Ejen Hartanah Haram Kenakan Yuran Transaksi Lebih Tinggi, Kata MIEA

Dikirim Oleh terkini on 11/03/2015
| 2 Ulasan

Ejen-ejen hartanah haram mengaut keuntungan besar dengan mengenakan bayaran yuran transaksi lebih tinggi daripada kadar tiga peratus yang ditetapkan.

Presiden Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker berkata, ini menyebabkan ramai pembeli diperdaya apabila terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya.

Lebih membimbangkan, mengikut laporan dikumpul MIEA, bilangan ejen hartanah haram itu jauh lebih ramai iaitu sekurang-kurangnya 30,000 orang berbanding 16,000 ejen berdaftar.

“Apabila individu berhasrat menjual hartanah pada harga RM1 juta, ejen hartanah berdaftar akan memaklumkan nilai sebenar. Jika ianya RM1.1 juta, maka yuran standard tiga peratus atau bersamaan RM33,000 akan dikenakan.

“Bagaimanapun, ejen hartanah haram sebaliknya tidak akan memaklumkan nilai sebenar dan mengaut lebih daripada yuran yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Siva berkata bukan setakat pengguna, tetapi kerajaan akan turut menjadi mangsa kerana berbanding ejen berdaftar, ejen hartanah haram ini tidak membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebanyak enam peratus yang akan dilaksanakan pada 1 April ini.

Beliau turut mendakwa tiada sebarang tindakan diambil terhadap ejen hartanah haram ini biarpun Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah 1981 sudah dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kami amat berharap kerajaan dapat meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya.

Mengikut Akta itu, mana-mana ejen hartanah haram yang didapati bersalah, boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM300,000 atau kedua-duanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mendapatkan khidmat ejen hartanah berdaftar yang mempunyai tanda pengenalan ‘Perunding Hartanah’ dikeluarkan MIEA.

Ejen hartanah juga, katanya, perlu meningkatkan standard amalan mereka dalam usaha mengatasi ejen hartanah haram berkenaan.

“Kita perlu mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi supaya orang ramai tidak lagi mendapatkan khidmat ejen haram itu,” katanya.

Individu yang berhasrat menjadi ejen hartanah berdaftar diwajibkan mengikuti pengajian selama tiga tahun dan lulus 12 kertas bagi mendapatkan diploma berkaitan.

Mereka juga perlu berkhidmat selama dua tahun di bawah ejen hartanah berdaftar sebelum diberikan sijil amalan.
Oleh Nurul Hanis Izmir dan Zairina Zainudin — BERNAMA

2 pendapat dalam “Ejen Hartanah Haram Kenakan Yuran Transaksi Lebih Tinggi, Kata MIEA

  • pada 19/05/2015

    harga rumah sepatutnya lebih mampu milik., bila agen yg uruskan kurang mampu jadinya

    • c-mi
      pada 11/06/2015

      tidak semestinya agent adalah punca kenaikan harga. pemilik hartanah dan pemaju juga meletakkan harga yang tinggi. agent hanya di bayar bila dia dapat jual. jika harga melampau tinggi siapa yang nak beli? jika tiada sesiapa nak beli dimana agent nak dapat gaji? secara logik nya agent akan jual ikut harga semasa. baru lah hartanah tu terjual dengan cepat. Yang buka harga bukan2 ni selalunya tuan rumah atau broker yang tak semak harga semasa. Pemaju walau pun dia jual mahal, dia ada pakej mudah milik. itu yang kadang2 kita rasa mahal, tapi masih ramai yangg beli. sebab ada pakej.

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.