EON Capital Bhd (EONCap) mengumumkan ia sudah mengemukakan permohonan kepada Bank Negara Malaysia untuk memperoleh kelulusan memulakan rundingan dengan pihak ketiga yang berpotensi dan syarikat yang berkaitan.
Dalam kenyataan kepada Bursa Securities hari ini, EONCap berkata rundingan itu termasuk jualan aset dan liabilitinya, termasuk kepentingan ekuiti.
Ia turut melibatkan anak syarikat, termasuk EON Bank Bhd, EONCap Islamic Bank Bhd dan MIMB Investment Bank Bhd.
“EON Cap, secara langsung dan/atau menerusi mana-mana atau lebih banyak anak syarikatnya (termasuk tetapi tidak terhad kepada EON Bank, EONCap Islamic Bank dan MIMB Investment Bank), memperoleh sekurang-kurangnya lima peratus kepentingan dalam saham, bergabung dengan, atau melaksanakan pengambilalihan aset dan liabiliti entiti sedia ada di Malaysia,” katanya.
Kumpulan itu menarik minat Hong Leong Bank Bhd (HLB) untuk kemungkinan membeli aset dan liabiliti serta kepentingannya.
HLB mendapat lampu hijau daripada bank pusat untuk memulakan rundingan dengan lembaga pengarah EONCap dan EON Bank bagi potensi membeli aset dan liabiliti, termasuk kepentingan ekuiti EONCap dalam EON Bank.
Ia juga memperoleh kelulusan untuk berunding dengan dua pemegang saham utama EONCap, Rin Kei Mei, seorang ahli perniagaan, dan jutawan Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King. Kedua-duanya memiliki kepentingan tidak langsung sebanyak 31.7 peratus yang dipegang menerusi Kualapura Sdn Bhd dan Lintang Emas Sdn Bhd, dengan 15.4 peratus dan RH Development Sdn Bhd dengan 16.3 peratus.
Khazanah Nasional Bhd, yang menguasai 10 peratus kepentingan, bersetuju menjualnya kepada HLB. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan bersedia menjual 10.7 peratus kepentingannya.
Pemegang lain saham EONCap termasuk dana ekuiti swasta berpejabat di Hong Kong, Primus Pacific Partners dengan 20.2 peratus.
EONCap ialah syarikat pemegangan EON Bank yang mempunyai rangkaian 140 cawangan manakala HLB ialah peminjam keenam terbesar negara dengan 199 cawangan dan pusat jualan.
Gabungan aset HLB dan EONCap dilaporkan berjumlah RM121.41 bilion yang membolehkan kumpulan itu mengatasi peminjam keempat terbesar negara, RHB Capital Bhd, yang asetnya bernilai RM110.5 bilion.
– BERNAMA
Popularity: 1%