Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Felcra Berhad tidak boleh terlalu bergantung kepada bidang tanaman kelapa sawit dan getah, sebaliknya perlu berdaya saing supaya terus kekal relevan dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan.

“Sejajar dengan penubuhan 50 tahun Felcra, kita akan mere­but apa sahaja peluang yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat serta dapat menjana ekonomi peserta khususnya masyarakat luar bandar supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Felcra kini perlu memandang ke depan dan menceburi bidang baharu selaras dengan perkembangan semasa dan tidak boleh bergantung kepada penanaman kelapa sawit dan getah sahaja,” ujarnya selepas menyampaikan ucaptama dan pelancaran seminar peserta sempena Sambutan 50 Tahun Felcra Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkarnain Md. Eusope.

Seminar yang berlangsung dua hari bermula hari ini turut disertai kira-kira 2,000 ahli Felcra dari lapan wilayah dan kakitangan dari seluruh negara.