Glomac Sasar Jualan Hartanah RM150 Juta

Glomac Berhad

Glomac Berhad

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Glomac Bhd menyasarkan jualan kira-kira RM150 juta dalam tempoh sebulan menerusi kempen jualan terkininya dari 20 Mac hingga 30 April.

“Glomac menawarkan banyak faedah promosi kepada pembeli rumah, dan kami menjual semua projek semasa kami, termasuk projek komersial terkini dalam zon perdana Cyberjaya,” kata Pengerusi Eksekutif kumpulan Tan Sri F.D. Mansor.

“Meskipun faedah yang ditawarkan akan memakan margin keuntungan kami, kami berusaha untuk meningkatkan tahap keyakinan pembeli prospektif dalam tempoh-tempoh sukar ini,” katanya pada pelancaran kempen jualan Glomac 360 Degrees Showcase, di sini, Rabu.

Faedah tambahan termasuk pembiayaan 100 peratus bagi hartanah terpilih, pinjaman tanpa faedah semasa tempoh pembinaan, fi guaman perjanjian jualan dan belian serta dokumentasi pinjaman percuma, rebat rujukan dan program pembayaran mudah.

Kempen itu mempamerkan pelbagai hartanah kumpulan termasuk pembangunan bandar baharu seperti Bandar Saujana Utama, Saujana Rawang dan Sri Saujana, Johor.

Juga ditawarkan untuk jualan adalah lot dalam pembangunan komersial seperti Glomac Galleria, Plaza Kelana Jaya, Plaza Glomac dan Glomac Damansara.

Sejumlah hartanah bernilai RM400 juta juga turut dijual.

Mengenai prospek masa depannya, Mansor berkata kumpulan mempunyai hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM3 bilion untuk dijual dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Bagaimanapun, kumpulan ketika ini sedang menyemak semula rancangannya berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu, katanya.

“Kumpulan masih memiliki projek dalam perancangan untuk dilancarkan yang kami akan gerakkan seiring dengan penambahbaikan keadaan pasaran,” katanya.

Mansor juga berkata kumpulan itu akan memuktamadkan jualan hartanah Wisma Glomac 3 kepada Perbadanan Nasional Bhd dengan harga RM50 juta dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Dana tambahan daripada jualan akan berfungsi sebagai dana yang dikumpul untuk pembiayaan bagi mengharungi aliran ekonomi ketika ini,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Jan, 2009, kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM251.7 juta dan keuntungan sebelum cukai RM42.2 juta.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mac 27th, 2009 dan difailkan dibawah Projek Hartanah Terbaru. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda