Your search results

Hartanah Sekunder Mungkin Lebih Murah Berbanding Baharu

Dikirim Oleh terkini on 28/12/2014
| 0
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
Pasaran hartanah sekunder di negara ini berpotensi besar kerana harga kediaman adalah 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding rumah baharu, kata Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Presidennya Siva Shanker berkata ramai bakal pembeli kediaman tidak menyedari perkara ini dan sebaliknya mengeluh mengenai harga hartanah baharu yang semakin meningkat.

“Data membuktikan harga hartanah di pasaran sekunder tidak jauh berbeza dengan pasaran primer namun jika perbandingan dibuat dari segi lokasi dan saiz, hartanah sekunder lebih murah.

“Jika anda sanggup berkompromi dan membeli rumah lama, anda dapat berjimat banyak dan hanya berbelanja sedikit untuk mengubah suai atau mencantikkan rumah lama tersebut,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau yang ditemui selepas taklimat media mengenai Persidangan Unjuran Hartanah 2015 yang dijadualkan selama dua hari bermula 10 Jan depan, turut berasa kesal dengan sikap media massa yang terlalu mengetengahkan pelancaran projek hartanah baharu.

Siva berkata MIEA menganjurkan Pameran Hartanah Sekunder Tahunan Malaysia di beberapa bandar raya utama dan menawarkan hartanah pada harga berpatutan untuk semua lapisan masyarakat.

Mengenai hartanah yang dilelong, beliau menasihati bakal pembeli agar lebih berhati-hati kerana terdapat banyak aspek yang tidak diketahui mengenai hartanah terbabit.

“Kadang-kadang anda tidak dapat melihat rumah yang dilelong, justeru anda tidak tahu apakah kerosakan pada kediaman atau jumlah bil utiliti, cukai tanah dan lain-lain bil yang tertunggak.

“Pemilik rumah juga tidak akan menyerahkan kediamannya dengan mudah kerana dia kehilangan rumah disebabkan tidak mampu membayar balik pinjaman bank dan baginya anda adalah musuh kerana membeli rumah terbabit,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.