Hong Leong Group Tidak Terjejas Dengan Dasar Kawalan Hartanah China

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Oleh Vincent Low

Pengenalan dasar dan peraturan kawalan hartanah oleh China baru-baru ini, tidak akan menjejaskan projek pelaburan hartanah konglomerat Malaysia, Hong Leong Group di negara itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Guocoland China, Violet Lee memberitahu sidang media khas dengan media tempatan dan Malaysia di sini bahawa projek sedia kumpulan itu di China, Guoson Centre Shanghai dan Guoson Centre Dongzhimen, Beijing, tidak menjadi sasaran dalam dasar berkenaan.

Kedua-dua projek itu merupakan pembangunan kegunaan bercampur, yang terdiri daripada Hotel Guoman, pusat membeli belah dan pejabat SOHO serta unit kediaman.

Guocoland China merupakan cabang hartanah kumpulan di China.

Lee berada di Shanghai bagi menyaksikan pelancaran rasmi Hotel Guoman, Shanghai pada Sabtu lepas.

Hotel lima bintang yang bercitarasakan London itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan dan pegawai-pegawai dari kerajaan Shanghai.

“Hotel Guoman dan pusat membeli belah merupakan hartanah Guocoland manakala unit SOHO dimiliki oleh syarikat perniagaan. Tujuan utama dasar itu ialah untuk menangani isu lonjakan harga unit kediaman,” jelas beliau.

Harga unit perumahan di bandar raya utama di China melonjak lebih 15 peratus pada empat bulan pertama tahun ini, disebabkan oleh spekulasi.

“Projek-projek perumahan hanya menguasai 30 peratus daripada perniagaan kami di China. Kami bernasib baik, memandangkan unit kediaman 1102 terkini kami di bandar raya Nanjing, habis dijual sebelum dasar berkenaan diumumkan pada April,” katanya.

Mengikut dasar baru itu, individu perlu membayar tidak kurang daripada 40 peratus daripada bayaran muka untuk rumah kedua dan tiada pembiayaan diberikan untuk rumah ketiga atau kepada bukan pembayar cukai.

Lee berkata, meskipun dasar berkenaan mungkin tidak menjejaskan pemaju perumahan, secara keseluruhan ia bertujuan membersihkan pasaran hartanah untuk pertumbuhan yang lebih baik.

“Beberapa pemaju hartanah mungkin terjejas tetapi bukan Guocoland China. Saya melihatnya sebagai satu peluang kepada kami.

“Di bawah dasar baru itu, 78 syarikat kerajaan pusat, dengan perniagaan teras mereka tidak ada kaitan dengan pembangunan hartanah, terpaksa keluar daripada perniagaan hartanah.

“Oleh itu, saya menjangka lebih banyak peluang bagi Gucoland memperoleh tanah dan kurang persaingan dalam membidanya,” kata beliau.

Beliau berkata dengan pemulihan ekonomi sepenuhnya yang berkemungkinan pada 2012, masanya sesuai bagi Guocoland untuk memberi tumpuan terhadap projek sedia ada, Guoson Centre dan projek pembangunan kegunaan bercampur yang baru di bandar utama lain di China.

Menurut Lee, Guocoland menjangka dapat membangunkan pusat Guoson di bandar raya Tianjin, Nanjing dan Chengdu.

“kami berharap untuk menyaksikan antara lima hingga 10 pusat Guoson di China dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.

Guoson Centre meraih anugerah lima bintang bagi projek “Pembangunan Kegunaan Bercampur di China” pada majlis Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2010 baru-baru ini.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Jun 2nd, 2010 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda