
ijm-building
SUBANG JAYA, 1 April (Bernama) — IJM Land Bhd, cabang pembangunan hartanah Kumpulan IJM menyasar jualan antara RM200 juta dan RM250 juta dengan pengenalan pelan pemilikan rumahnya, My Space Plan, kata Pengarah Urusannya Datuk Soam Heng Choon hari ini.
Pelan itu akan menarik pembeli untuk memilih dan membeli rumah pilihan mereka daripada kondominium hinggalah kepada hartanah bertanah mengikut bajet mereka, bermula hari ini sehingga 30 Jun, katanya.
“Jika kita mempunyai produk yang baik di lokasi yang sesuai, orang akan masih membeli meskipun kegawatan ekonomi sekarang,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran pelan tersebut di sini.
Soam berkata pelan pemilikan rumah khusus ini terpakai bagi semua hartanah yang berada di pelbagai tahap pembangunan di Pulau Pinang, Lembah Klang, Seremban, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Keadaan ekonomi sekarang tidak sepatutnya menghalang pembeli pertama kali atau pelabur daripada membeli hartanah kerana mereka boleh menikmati insentif kami seperti bayaran pendahuluan yang rendah daripada RM500 dan rebat tunai sehingga maksimum 10 peratus, jelasnya.
Pelan itu juga menawarkan kadar faedah rendah bagi skim pembayaran 5:95, jaminan balik tunai, faedah sifar semasa tempoh pembinaan, pelepasan bayaran ansuran enam bulan dan skim pembayaran mudah.
Beliau berkata syarikat itu mempunyai saiz simpanan tanah seluas 3,600 hektar yang terletak di lokasi strategik termasuk projek pembangunan Canal City di Kuala Langat, Selangor.
Ini akan menjadikan IJM Land sibuk dengan aktiviti untuk tempoh 20 tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar berpotensi RM17 bilion.
Sementara itu, syarikat berkenaan juga merancang melancarkan beberapa projek hartanah bernilai RM750 juta semasa tahun kewangan sekarang yang berakhir pada 31 Mac, 2010, kata Soam.
“Meskipun ekonomi Malaysia dijangka menguncup dalam suku pertama, kami masih melihat orang membeli hartanah,” katanya.
Soam juga mendedahkan bahawa syarikat itu tidak merancang untuk menghentikan projek pembangunan bercampurnya yang bernilai RM500 juta di Changchun, China.
“Projek itu sedang berjalan lancar. Kami telah menyerahkan cadangan bagi kelulusan,” katanya.
– BERNAMA
ingin membeli apartment ada lift
berapa budget? saya ada beberapa unit apartment untuk dijual,,