Maklum balas positif yang diterima daripada pelabur luar selepas pengumuman penyahkawalseliaan garis panduan pelaburan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) baru-baru ini masih lagi tidak dapat dizahirkan dalam bentuk pelaburan sebenar, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.
“Oleh kerana pengumuman itu baru seminggu diumumkan maka kita tidak berharap untuk mendapat reaksi begitu cepat dari pihak luar.
“Setakat ini cukup saya katakan responnya amat positif tetapi dari segi maklum balas, dan ini belum lagi diterjemahkan dalam bentuk pelaburan seperti yang kita harapkan dengan pembukaan pasaran hartanah ini,” katanya selepas merasmikan Pameran Hartanah dan Pelaburan Malaysia 2009 (MAREIX) Sabtu ini.
Menurut Mukhriz, walaupun kelembapan ekonomi sekarang, industri hartanah di Malaysia tetap mendapat permintaan yang tinggi daripada kalangan pembeli dalam dan luar negara.
Katanya, kebelakangan ini, hartanah negara berjaya menarik minat pembeli dan pelabur terutama dari China, Indonesia, Singapura, Korea dan Timur Tengah.
“Mungkin antara sebabnya adalah pelaburan hartanah mampu memberi pulangan yang agak lumayan setelah 2-3 tahun dan seperti yang kita tahu ekonomi kita walaupun dalam keadaan merudum tetapi dijangka kembali pulih pada akhir tahun, ataupun pada suku pertama tahun depan,” jelasnya.
Mukhriz berkata purata harga hartanah yang lebih murah juga telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang menarik untuk pelaburan.
Dengan itu, katanya tahap keyakinan pelabur terhadap hartanah tempatan masih kukuh walaupun ekonomi negara mengalami kemelesatan.
Keyakinan itu, katanya dapat dilihat apabila pempamer-pempamer hartanah di MAREIX mengatakan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjual hartanah mereka tidak kira di mana lokasinya berada.
“Mungkin kerana itu mereka mahu melabur dalam hartanah pada peringkat awal ini dengan harapan nilainya akan bertambah sedikit masa lagi,” katanya.
Menurutnya, pindaan beberapa dasar untuk menarik pelabur asing ke Malaysia dan juga liberalisasi dijangka dapat meningkatkan jumlah rakyat asing yang membeli hartanah di Malaysia.
Tambahnya, sokongan dan kerjasama daripada semua agensi yang terlibat dalam sektor hartanah akan turut membantu pemaju, kontraktor serta pembekal bumiputera terutamanya, untuk terus berkembang dan meluaskan jaringan dan pasaran mereka.
– BERNAMA