Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata inflasi akan terus sederhana tahun ini, dan proses mengembalikan kadar kepada paras biasa (normal), akan lebih dinamik.
“Pada masa ini, kita tidak menghadapi ancaman inflasi. Inflasi akan kekal sederhana tahun ini walaupun ia akan meningkat.
“Yang kami mahu lakukan ialah memastikan pertumbuhan kukuh yang kita alami setakat ini berterusan dan akan bertahan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Negara dan Perbendaharaan Australia, di sini Rabu.
Beliau berkata proses mengembalikan kadar kepada tahap biasa sangat dinamik kerana jika ekonomi perlahan, kadar normal itu akan terhenti. “Namun dalam tempoh pertumbuhan yang sangat kukuh, ada ruang untuk mengembalikanya kepada tahap biasa,” katanya.
Zeti berkata dasar monetari ke atas kadar faedah terus menyokong peningkatan pertumbuhan.
Ekonomi Malaysia berkembang 10.1 peratus dalam tempoh suku pertama 2010. Kadar dasar semalaman dinaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada 13 Mei bagi mewujudkan kedudukan monetari yang lebih normal.
Zeti berkata bank pusat itu menjangkakan keadaan ekonomi terus meningkat meskipun belaku ketidaktentuan di Eropah.
Beliau menegaskan bahawa institusi kewangan tempatan mempunyai pendedahan terhad terhadap krisis hutang di Eropah.
“Kami yakin tindakan akan diambil, dan telah diambil, dan ini membendung pembangunan dan menangani isu-isu yang berbangkit. Ini sangat penting supaya ia tidak mempunyai kesan limbahan,” katanya.
MoU yang dimeterai hari ini disasar mengukuhkan pembangunan perniagaan strategik jangka panjang dalam kewangan Islam dan konvensional antara Malaysia dan Australia, dengan memberi tumpuan terhadap bidang utama dalam industri perkhidmatan kewangan serta pertukaran maklumat dan pengalaman dalam kerangka kerja perundangan, kawal aturan dan pemantauan.
Ia juga bermatlamat memudahkan dan mempromosi pembangunan kerangka kerja pasaran kewangan yang berkesan dan kondusif dan meningkatkan aktiviti kewangan merentas sempadan, termasuk penyelidikan terhadap urusan Syariah dalam produk dan kewangan Islam bagi menggalakkan aplikasi konsisten untuk transaksi merentas sempadan.
Pemeteraian MoU itu adalah susulan perjanjian oleh menteri perdagangan kedua-dua negara — Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Simon Crean — bagi meneroka kerjasama ke atas kewangan Islam, semasa rundingan perdagangan dua hala Malaysia-Australia pada Ogos 2009.
– BERNAMA
Popularity: 1%