Your search results

Isu Perumahan Golongan Muda Perlu Diberi Perhatian

Dikirim Oleh terkini on 27/11/2014
| 0

Kerajaan perlu mengawal pembinaan rumah mewah yang terlampau banyak di bandar-bandar sehingga menyebabkan golongan belia, terutama belia Melayu, tidak mampu memilikinya.

Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju Wan Shahrul Nizam Wan Othman berkata perkara yang perlu diutamakan ialah pembinaan rumah mampu milik dalam kawasan bandar.

“Itu yang diingini oleh golongan belia bandar,” katanya semasa membahas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno di sini, pada Rabu.

Beliau berkata berikutan tidak mampu memiliki rumah, golongan belia di kawasan bandar rasa tersisih.

Wan Shahrul turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Jabatan Hartanah Bumiputera bagi menjalankan tanggungjawab meneliti dan memastikan pembangunan rumah mampu milik dan mewah di kawasan bandar seimbang.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Tenom, Sabah Jamawi Jaafar pula mahu kerajaan mengkaji semula penetapan harga rumah untuk Skim Perumahan Belia.

Beliau bimbang pemaju skim yang menawarkan harga rumah yang bernilai RM500,000 ke bawah itu, mengambil kesempatan membina lebih banyak rumah yang berharga mahal.

“Tidak ramai anak muda Melayu yang mampu untuk miliki rumah RM500,000 ke bawah. Kalau kita nak bersaing, hanya anak muda Melayu yang bergaji dalam lingkungan RM10,000 sebulan mampu membelinya, dan apabila ia dibiarkan pada pasaran terbuka 10 peratus sahaja mampu dimiliki bumiputera.

“Jadi saya minta agar had itu diturunkan kepada RM170,000 ke bawah itulah kemampuan anak-anak muda yang bergaji dalam lingkungan RM5,000 ke bawah,” katanya.

Sementara itu Penolong Setiausaha Pemuda Umno Perlis Reswan Ramli menyarankan kerajaan mengkaji semula harga rumah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang akan dilaksanakan di Perlis yang dianggapnya terlalu tinggi.

Katanya, golongan belia bumiputera di Perlis mempunyai purata pendapatan per kapita yang jauh lebih kecil daripada negeri lain, iaitu sekitar RM1,000 sebulan sementara harga rumah PR1MA adalah antara RM100,000 dan RM400,000.

“Sudah tentu tidak mampu dimiliki majoriti golongan belia di Perlis,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.