Your search results

Jejantas MRT Laluan SBK Akan Dibina Oleh Pemilik Hartanah Persendirian

Dikirim Oleh c-mi on 20/12/2016
| 0

KUALA LUMPUR: Jejantas yang menghubungkan stesen Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan bangunan berhampiran akan dibina oleh pemilik hartanah persendirian.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata sepanjang tempoh pembinaan MRT bagi laluan SBK, pihaknya telah menandatangani beberapa perjanjian bersama pemilik hartanah persendirian mengenai pembinaan jejantas.

Katanya pemilik hartanah persendirian ialah pembangunan hartanah komersial dan campuran yang terletak bersebelahan dengan stesen-stesen MRT.

“Memandangkan jejantas-jejantas tersebut akan terletak di luar kawasan kawalan MRT Corp, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa jejantas akan dibina oleh pemilik hartanah persendirian yang akan bertanggungjawab ke atas kos dan jadual pembinaan masing-masing.

“Walaupun usaha dibuat untuk menyelaraskan masa bagi menyiapkan jejantas ini, jadual pembinaan jejantas berkenaan adalah di luar kawalan MRT Corp,” kata MRT Corp dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pelbagai isu dibangkitkan oleh pengguna laluan SBK menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial sejak MRT laluan SBK mula beroperasi 16 Dis lalu.

Antara jejantas dipersetujui untuk dibina bagi laluan SBK adalah Stesen Kampung Selamat dengan pembangunan D’Sara Sentral dan SqWhere; Stesen Surian dengan Sunway Nexis dan Tropicana Gardens; Stesen Mutiara Damansara dengan Surian Tower (yang ada jejantas ke Hotel Royale Chulan, e-Curve, The Curve dan IPC) serta Stesen Bandar Utama dengan beberapa hartanah berdekatan seperti pusat beli-belah 1Utama dan 1Powerhouse.

MRT Corp turut mengesyorkan pengguna beberapa cara alternatif ke bangunan hartanah persendirian bersebelahan sementara menunggu pembinaan jejantas selesai.

“Antara cara alternatif ialah dari Stesen Surian, pengguna MRT boleh berjalan keluar menggunakan Pintu B dan berjalan ke Sunway Nexis.

“Dari Stesen Bandar Utama ke Pusat Beli-Belah 1 Utama, pengguna MRT boleh keluar dari stesen dengan menggunakan jejantas pejalan kaki ke bangunan 1 Powerhouse terletak di Persiaran Bandar Utama,” katanya.

MRT laluan SBK melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer.

-BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.