ALOR SETAR, 17 Jun (Bernama) — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengingatkan pemilik rumah awam supaya menjelaskan ansuran sewa-beli rumah mereka bagi mengelakkan tindakan tegas, ekoran tunggakan keseluruhan bayaran kini mencecah lebih RM23 juta.
Beliau berkata antara tindakan tegas yang akan diambil ialah mereka akan diarahkan keluar dan mengosongkan rumah mereka.
Kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan tegas kerana pembiayaan pembinaan perumahan awam berkenaan menggunakan wang kerajaan pusat dan ia perlu dibayar balik, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini Rabu.
Katanya ansuran bayaran yang telah tertunggak sejak beberapa tahun lalu melibatkan kawasan perumahan awam di Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda, Padang Terap, Pokok Sena, Yan, Pendang, Baling, Sik, Kulim, Bandar Baru dan Langkawi.
Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk menjadualkan semula ansuran sewa-beli bagi mengurangkan jumlah bayaran setiap bulan bagi keluarga yang kurang mampu seperti ibu tunggal, katanya.
“Ansuran rumah ini hanyalah antara RM80 hingga RM120 sebulan, kalau mereka tak sanggup bayar, ada orang lain yang sanggup bayar,” kata Azizan.
Beliau berkata kini terdapat lebih 24,000 penduduk yang memerlukan rumah awam.
Katanya kediaman sementara akan disediakan untuk pemilik yang diarahkan keluar daripada rumah awam, sebelum mereka mendapat tempat tinggal yang baru.
– BERNAMA