Jualan SP Setia Lepasi Paras RM1 Bilion

Sp Setia

Sp Setia

KUALA LUMUR, 1 Julai — Pemaju hartanah SP Setia Bhd hari ini mengumumkan jualannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 2009 melepasi paras RM1 bilion.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata jualan syarikat berjumlah RM1.04 bilion pada Jun, berdasarkan kepada perjanjian jual beli yang dimeterai.

“Kebanyakan jualan disumbang daripada Pakej Pinjaman Rumah Setia 5/95 yang diperkenalkan pada 19 Januari,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di luar persidangan “Invest Malaysia 2009″ di sini, hari ini.

Pakej pinjaman rumah itu membolehkan pembeli membayar hanya lima peratus permulaan daripada harga rumah.

Semua yuran guaman dan duti setem bagi perjanjian jual beli akan ditanggung oleh SP Setia.

Liew berkata SP Setia tidak akan meneruskan pakej pinjaman itu yang berakhir pada 19 Julai.

Beliau berkata sambutan menggalakkan selepas tiga bulan ia diperkenalkan telah menyebabkan SP setia melanjutkan pakej ini untuk tempoh tiga bulan lagi sehingga 19 Julai yang merangkumi hartanah kediaman dan komersialnya.

“Kami juga akan berhenti melancarkan sebarang produk baharu untuk tempoh beberapa bulan dan menumpu untuk menyiapkan apa yang kami telah berjaya jual,” katanya.

Mengenai pasaran yang sudah sampai ke paras paling rendah, Liew berkata terdapat petanda positif bahawa situasi semakin bertambah baik.

Beliau berkata sejak pelancaran program SP Setia 5/95, pemaju lain telah mengikut jejak langkah mereka dengan pakej pembiayaan menarik mereka sendiri yang juga mendapat sambutan.

“Ini menunjukkan kekuatan dan kedalaman pasaran hartanah dan memberi prospek baik bagi industri secara keseluruhannya. Saya yakin asas kukuh Malaysia akan menyaksikan kita mampu mengharungi tempoh-tempoh sukar ini,” katanya.

Liew juga berkata SP Setia akan terus membangunkan jenama dan melaksanakan strategi pemasaran yang kos efisien dan terbukti berkesan.

Ketika ini, simpanan tanahnya yang belum dimajukan berjumlah 1,600 hektar.

BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Jul 2nd, 2009 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda