Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) merayu kepada kerajaan supaya menimbang semula peruntukan yang mewajibkan pemasangan kemudahan jalur lebar di semua kawasan komersial dan kediaman baru kerana langkah itu membebankan pemaju daripada segi kos.
Sambil memuji usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar, Presiden Rehda Datuk Ng Seing Liong bagaimanapun berkata penyediaan kemudahan itu memerlukan modal besar kerana pemaju perlu memeterai perjanjian dengan syarikat Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP).
“Syarikat ISP akan mengaut keuntungan melalui langganan, tetapi pemaju perlu mengeluarkan kos tambahan bagi menyediakan kemudahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari Selasa.
Di samping itu, kata beliau, bukan semua pembeli rumah akan melanggan perkhidmatan jalur lebar, terutama di luar bandar dan pekan kecil.
Ng berkata Rehda amat berharap kerajaan memahami kesulitan industri berkenaan kerana peruntukan yang mewajibkan penyediaan kemudahan itu memerlukan pemaju mengeluarkan perbelanjaan tambahan, sedangkan mereka sudah dibebani dengan syarat supaya menyediakan pelbagai kemudahan lain.
Katanya mungkin pilihan atau ganjaran lain boleh diadakan bagi menggalakkan pembeli rumah melanggan perkhidmatan jalur lebar, selain membebankannya di bahu pemaju.
Beliau berkata oleh kerana kemudahan telekomunikasi adalah terhad, tanggungjawab itu sepatutnya dipikul oleh ISP, memandangkan mereka memiliki kemudahan yang diperlukan.
Katanya kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh tentang faedah kos sistem berkenaan sebelum mewajibkannya secara lebih meluas dan pada waktu yang sama, cuba mencari penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak, tanpa membebankan pemaju semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata langkah sedang diambil bagi meminda Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 untuk menjadikan prasarana jalur lebar sebagai perkhidmatan wajib.
– BERNAMA
Popularity: 1%