Your search results

Kampung Baru Kekal 100 Peratus Milik Bumiputera

Posted by D' rumah on 09/06/2010
| 0

Gambar Hiasan

Kerajaan memberi jaminan kawasan Kampung Baru akan kekal 100 peratus milik Bumiputera manakala pembangunan hartanan berdasarkan nisbah 60:40 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di kawasan itu hanya cadangan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Kerajaan memahami kebimbangan penduduk Kampung Baru terhadap isu nisbah 60:40 ini dan kerajaan memberi jaminan bahawa kawasan berkenaan akan kekal 100 peratus milik bumiputera tetapi pembangunan komersial mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada bukan bumiputera.

“Sebarang pembangunan di Kampung Baru perlu mendapat persetujuan daripada pemilik dan cadangan bukannya muktamad,” katanya.

Raja Nong Chik berkata berkata kerajaan juga tidak akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk meneruskan pembangunan Kampung Baru kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi membincangkan mengenai pembangunan Kampung Baru di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Rabu.

Turut hadir pada perbincangan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman, Presiden Perdasama Datuk Izat Emir, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Setiausaha Agung GPMS Zambri Mohd Isa.

Raja Nong Chik berkata NGO yang terlibat dalam perbincangan itu bersetuju dengan rancangan pembangunan Kampung Baru dan mahu dibangunkan secara komprehensif tanpa menjejaskan pemilikan tanah milik bumiputera.

Raja Nong Chik berkata beliau akan berjumpa dengan persatuan-persatuan yang mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru minggu depan untuk mendapat pandangan serta memberi penjelasan terperinci mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru.

Selain itu, katanya, kementerian itu juga akan mengadakan kaji selidik menerusi satu sesi undian penduduk Kampung Baru yang mungkin berlangsung tahun depan.

Raja Nong Chik berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu, perlu ditubuhkan dahulu dan ia dijangka diwujudkan tahun depan.

Mengenai cadangan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh memainkan peranan membangunkan Kampung Baru bagi memastikan hak pemiliknya terpelihara, beliau berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Berhad telah dikenal pasti oleh kerajaan untuk melaksanakan tugas itu.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian tanah yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada Mac 2007 yang melibatkan keluasan 54.4 hektar di kawasan itu menetapkan kadar RM270 ke RM300 per kaki persegi bagi tanah kediaman dan RM500 ke RM600 per kaki persegi bagi tanah perdagangan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <strong> <em> <pre> <code> <a href="" title="">