Kawasan Pelupusan Sampah Negara Semakin Kritikal?

Gambar ilustrasi sahaja

Gambar ilustrasi sahaja

Oleh Syed Azwan Syed Ali

Bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai pelupusan sampah

KUALA LUMPUR, -  Kepesatan pembangunan menuntut sebuah negara membangun seperti Malaysia menguruskan sistem pelupusan sisa pepejal domestik dengan efektif.

Kerajaan amat komited dalam aspek berkenaan dan ini terbukti dengan kewujudan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta agensi seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

Terdapat juga penggubalan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia menandatangani Protokol Kyoto 1997 bagi menangani kesan perubahan iklim dan pemanasan global ekoran daripada kesan rumah hijau.

Namun di sebalik komitmen itu, beberapa perkara memerlukan perhatian dan penambahbaikan segera terutama dari segi pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal (sampah) di negara ini.

TUJUH TAPAK PELUPUSAN SAMPAH SANITARI

Hanya tujuh daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini merupakan tapak pelupusan sanitari yang mesra alam.

Maknanya, kurang 2.5 peratus daripada keseluruhan tapak pelupusan sisa itu diuruskan dengan baik dengan selebihnya beroperasi secara pembuangan terbuka atau ‘open-dumping’.

Bagi pakar pengurusan sisa pepejal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ir Dr Hassan Basri, keadaan itu membayangkan pengurusan sisa pepejal di negara ini masih kurang efisyen.

“Ia juga kritikal untuk jangka panjang,” kata profesor kejuruteraan alam sekitar UKM.

Hujah Hassan bersandarkan kepada risiko pelupusan sampah secara pembuangan terbuka yang menyebabkan pencemaran air dan udara.

PELUPUSAN PEMBUANGAN TERBUKA CEMARKAN AIR, UDARA

Pencemaran air disebabkan peresapan ‘leachate’ (air larut resapan) ke dalam sumber air bawah tanah, manakala pencemaran udara disebabkan pembebasan gas Metana (CH4) yang terhasil daripada proses pereputan sampah.

Tapak pelupusan sampah pembuangan terbuka juga memerlukan kos tinggi untuk dibangunkan semula selain menurunkan nilai hartanah di kawasan berhampiran.

“Pembukaan tapak pelupusan baru juga sukar akibat saingan dengan keperluan infrastruktur lain (perumahan dan industri) kerana tanah yang terhad. Adalah sukar untuk mencari kawasan yang sesuai pada masa akan datang,” kata Dr Latifah Abdul Manaf, pensyarah alam sekitar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tinjauan penulis di tapak pelupusan sanitari di Bukit Tagar mendapati kawasan itu mempunyai lapisan dasar yang menghalang leachate daripada meresap ke dalam sumber air bawah tanah, mempunyai sistem pengumpulan dan peredaran (melalui paip bawah tanah) leachate dan loji untuk merawat cecair toksik itu.

Pada masa yang sama, tapak pelupusan sampah sanitari juga mempunyai ‘penutup harian’ iaitu tanah liat atau plastik yang digunakan untuk menutup sampah yang dilupuskan bagi mengelakkan risiko bau dan dikerumuni binatang seperti lalat, tikus dan burung gagak.

Berbanding bau sampah yang boleh dihidu sejauh dua atau tiga kilometer dari kawasan pelupusan terbuka, masalah itu tidak berlaku di tapak pelupusan sanitari yang lebih ‘bersih’.

TAPAK PELUPUSAN SANITARI PILIHAN TERBAIK

Tapak pelupusan sanitari juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas Metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah dalam tempoh tertentu yang kemudian boleh ditukar menjadi tenaga elektrik.

Dalam kes Bukit Tagar misalnya, sel di tapak pelupusan yang ditutup pada November 2007, selepas beroperasi selama dua tahun, kini menjana 1.0 Megawatt elektrik yang digunakan bagi tujuan operasi di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari itu.

Keadaan itu (sistem paip gas) juga boleh mengelakkan risiko berlakunya pembakaran tidak dijangka, ekoran pembebasan gas rumah hijau itu, yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Contoh terkini ialah kebakaran timbunan sampah setinggi 91.4 meter di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak awal September lepas, dipercayai ada kaitan dengan pengurusan sampah tidak efektif.

Masalah pengurusan sisa pepejal sebenarnya bukan dialami di negara ini sahaja tetapi di negara lain ekoran kerancakan aktiviti ekonomi, peningkatan populasi dan guna tanah terhad.

PERTAMBAHAN POPULASI

Di Malaysia, dengan anggaran pertumbuhan populasi 2.4 peratus atau 600,000 orang setiap tahun (sejak 1994), lebih banyak sampah akan dihasilkan, seterusnya mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Keadaan ini diburukkan dengan statistik terkini menunjukkan 113 daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini tidak lagi beroperasi. Kebanyakannya menunggu masa ditutup.

Malah ada juga disambung hayatnya untuk menampung sampah yang ada, misalnya di kawasan pelupusan sampah Sungai Sedu, Banting, yang menerima sampah domestik dari Sepang dan Putrajaya yang sepatutnya ditutup Jun lepas.

Lebih menyedihkan sebilangan besar daripada 113 tapak pelupusan yang ditutup itu bukan tapak pelupusan sanitari.

Namun apa yang lebih menarik, kebanyakan tapak pelupusan sampah itu diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak swasta, yang dilantik PBT.

Mengikut statistik PPSPPA sebanyak 114 tapak pelupusan diuruskan PBT meliputi 58 tapak pelupusan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak (41) dan Sabah (15).

FAKTOR KEKANGAN DAN PENYELESAIANNYA?

Bagi Prof Hassan persoalan ini ialah masalah kompleks melibatkan beberapa faktor berkait daripada kekurangan dana dan kepakaran, tahap kesedaran rakyat yang masih rendah dan kerangka undang-undang yang belum jelas.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awan 2007 diluluskan pada 30 Ogos 2007, namun atas sebab-sebab tertentu, ia belum dikuatkuasakan.

Sumber industri melihat penangguhan itu berkaitan dengan proses penswastaan pengurusan sisa pepejal negara yang belum muktamad, sekalipun hakikatnya pengurusan sisa pepejal kini diurus syarikat Alam Flora, SWM Environment dan Idaman Bersih Sdn Bhd, mengikut zon masing-masing sejak 1996.

Ketika ini, ‘majikan’ bagi ketiga-tiga syarikat ini ialah PBT terbabit.

Berbalik kepada masalah pengurusan tapak pelupusan, kerajaan melaksanakan Pelan Tindakan 1988 iaitu meningkatkan tahap tapak pelupusan sampah secara berperingkat ekoran sumber dana dan kepakaran yang terhad.

Empat tahap pembaikan itu ialah pembuangan terkawal (tahap satu), kambusan sanitari dengan lapisan penutup harian (tahap dua), kambusan sanitari dengan sistem peredaran leachate (tahap ketiga) dan kambusan sanitari dengan rawatan leachate (tahap keempat).

Namun pelan tindakan itu dikatakan kurang berhasil dan ini dibuktikan dengan hanya tujuh tapak pelupusan sampah di negara ini diuruskan secara sanitari dan kebanyakannya dipelopori pihak swasta.

Tujuh tapak pelupusan sanitari itu ialah tiga di Selangor dan masing-masing satu di Kedah, Pahang, Melaka dan Johor.

KITAR SEMULA PANJANGKAN HAYAT KAWASAN PELUPUSAN

Keadaan ini diburukkan lagi dengan mentaliti masyarakat yang memandang mudah kepada kempen ‘kitar semula’ yang dua kali dilancarkan pada 1993 dan 2000 dibuktikan dengan peratusan kitar semula yang masih rendah sekitar lima peratus.

Angka ini amat jauh daripada sasaran kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang 2020 ditetapkan kerajaan apatah jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun dengan peratusan kitar semula melebihi 50 peratus.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan memikirkan langkah yang lebih efektif, selain mengadakan kempen dan iklan seperti membangunkan infrastruktur strategik dengan pihak swasta, menjalankan kajian holistik dan menguatkuasakan akta yang ada.

Masalah berbangkit seperti jadual kutipan sampah tidak menentu perlu diatasi secara telus dan tuntas.

Ini kerana dengan jumlah sampah yang semakin meningkat dan dijangka mencecah 30,000 tan sehari dalam tempoh kurang 11 tahun lagi, masyarakat tidak mempunyai pilihan selain daripada kitar semula.

Apa yang pasti, perubahan untuk mengitar semula boleh bermula dengan komitmen individu di rumah masing-masing, dengan mengurangkan sampah yang terpaksa dilupuskan.

BERNAMA

Sokong Kami! (Klik Iklan Di Bawah)

HTML tutorial
Sel, Sep 02, 2014 5:17:00 AM, Continue reading at the source
Sel, Sep 02, 2014 4:45:00 AM, Continue reading at the source
Sel, Sep 02, 2014 4:10:00 AM, Continue reading at the source
Sel, Sep 02, 2014 2:44:00 AM, Continue reading at the source
Sel, Sep 02, 2014 2:31:00 AM, Continue reading at the source

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:

Dikirim Oleh on Dis 28th, 2009 dan difailkan dibawah Isu Semasa, Teknologi Hartanah. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

6 Ulasan Dari “Kawasan Pelupusan Sampah Negara Semakin Kritikal?”

  1. jaja berkata:

    Jom sahut cabaran sokong kempen 3R(Reuse, Reduce & Recycle). Sebenarnya kita leh kurangkan penggunaan plastik. Cth bila beli brg2 di kedai/ pasaraya cuba minimakan penggunaan plastik. Kalo brg yg bleh dcampur campur ajela.. X usah demand plastik byk2. Ingat pengurangn satu plstik memberi impak yg besar kpd alam. Luv our world!!!

  2. ima berkata:

    smalam br je wat lawatan kat worldwide sanitary landfill kat jeram kuala selangor.so dpt tmbh knowledge pasl pengurusan sampah scr sanitari.upenye byk kebaikan yg blh dpt n dtgkan duit.bkn sekadar sampah je.hope lbh byk kempen tok sedrkan masyarkt ttg isu ni n ubah persepsi yg pndng ringan soal sampah.

  3. alin berkata:

    Kurangnya kesedaran dalam diri individu menyebabkan masalah sampah seolah-olah tiada penghujungnya. Tiada seorang pun yang suka sampah, tapi semua orang buang sampah. Dari sekecil2 kecil bayi hinggalah kita yang dewasa ni. Zaman yg serba moden ni menambah burukkan lg masalah sampah, semuanya ekpress je. so lg byklah sampah yang terhasil,.. kalaulah orang kn bayar untuk harga sampah yang dibuang, mesti sampah akan kurang. Tapi ramai lg yang tak tau bertapa susahnye nak handle sampah sarap kat Malaysia ni terutama di bandar2 yang padat. Da la byk sampah, tempat pelupusan pun tak de. bl tak kutip ramai individu yg marah, tapi mereka ni tak sedar, sampah tu siapa yang buang?datang dari siapa? Kalaulah mereka boleh mengurangkan sampah yang dibuang, amalkan kitar semula, tak membazir makanan mesti jumlah sampah akan kurang. percayalah…tak ramai orang malaysia nak kerja dgn sampah ni, busuk, kotor. Kalau diperhatikan, yang kutip2 sampah tu kebanyakan warga asing…Walaupun kerajaan berusaha keras untuk berkempen bagi kesedaran kpd masyarakan mengenai isu sampah, kalau bukan datang dari individu tu sendiri, semuanya sia-sia belaka…sepatutnya sita mencontohi jepun, salah satu negara yang boleh dikatakn berjaya menangani isu sampah dengan cemerlang…tempat kawasan incinerator pun jd tempat rekreasi mereka…tepuk dada, tanya hati..=)

  4. matt semak berkata:

    tahap pemikiran dan kesedaran masyarakat di Malaysia tentang pengurusan sampah masih rendah.. yg masyarakat tau, “aku dah letak sampah kat tong, esok pagi lori sampah kena kutip r.. aku dah byr cukai pintu, kontraktor kutipan sampah kena la selesaikan..” tp adakah kita sedar, sampai bila tapak pelupusan dapat menampung sampah2 kita? tanah yg kita duduk skang silap2 bekas tapak pelupusan sampah. Gas methane tu sume x payah cakap la.. ntah ke mana pun x tau. silap haribulan nk masak kat dapur, tetiba trus meletup umah. fikir2kn lah..
    “amalkan kitar semula.. bumi ini bukan kita warisi drp generasi terdahulu, tetapi kita hanya pinjam drp generasi akan datang…”


Tinggalkan ulasan anda

Protected with IP Blacklist CloudIP Blacklist Cloud