Kemahuan Terhadap Risiko Yang Lebih Tinggi Akan Sebabkan Krisis Lain, Kata Pakar Ekonomi

Dubai World

Dubai World

Kemahuan untuk risiko yang lebih tinggi di celah-celah pemulihan pasaran kewangan dan ekonomi global mungkin akan menyebabkan satu krisis lagi, menurut seorang pakar ekonomi.

Ismail Dalla, cendekiawan pelawat dari Universiti George Washington di Amerika Syarikat, berkata kadar faedah dan pasaran kewangan global telah mula pulih seperti biasa.

Bagaimanapun, berikutan kemelesetan dana dan pendapatan akibat daripada krisis kewangan sekarang, institusi-institusi seperti dana persaraan tidak boleh mendapatkan kembali pendapatan sebelum krisis, terutamanya dengan kadar faedah di kebanyakan tempat berada pada kadar terendah dalam sejarah, kata Dalla.

“Apabila ini berlaku, akan terdapat kemahuan terhadap risiko yang lebih tinggi kerana kadar faedah adalah lebih rendah dan aset kewangan harus menyokong kekurangan ini. Jadi, apabila ia meningkat, satu lagi krisis dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi tidak dapat dielakkan,” katanya pada syarahan umumnya di Universiti Putra Malaysia di sin.

Mengenai krisis Dubai World, Dalla berkata ia tidak mengejutkan kerana insiden itu berlaku kerana terdapat terlalu banyak aktiviti pembinaan, yang menyebabkan “lebihan hartanah”.

Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak perlu dibimbangkan sangat kerana Abu Dhabi dijangka akan menyokong pengstrukturan semula yang berperingkat.

Sungguhpun begitu, insiden ini, katanya, adalah contoh yang baik untuk menunjukkan bahawa kewangan Islam turut tidak terlindung daripada kemelesetan seperti itu.

“Ini membuktikan pasaran kewangan dunia berkait rapat, hingga tiada apa yang boleh berselindung di belakang instrumen lain,” katanya.

Dalla juga berkata undang-undang kemuflisan Islam yang dipinda oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dengan kerjasama lain-lain badan penetapan standard Islam, boleh membantu mendapatkan penyelesaian berkaitan kewangan Islam dan isu-isu perbankan.

BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Dis 30th, 2009 dan difailkan dibawah Isu Semasa, Tips Hartanah. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda