Kerajaan Akan Terus Laksana RPGT, Kata Husni

PUTRAJAYA, 6 Nov  –Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan cadangan cukai ke atas keuntungan pelupusan hartanah (RPGT) seperti yang dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari, 2010.

“Tidak..tidak, (akan dikaji semula) ia akan tetap diteruskan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pengumuman RPTG telah melembabkan pasaran hartanah.

Pada pembentangan Bajet 2010 yang baru lalu, kerajaan mencadangkan kadar cukai tetap sebanyak 5.0 peratus dikenakan terhadap keuntungan dari pelupusan hartanah mulai Januari depan.

Setakat ini, Husni berkata kerajaan masih belum melihat kesan sebenar ke atas pasaran berikutan pengumuman langkah tersebut.

Keuntungan dari pelupusan hartanah tertakluk kepada cukai di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 bagi menangani aktiviti spekulatif dalam sektor hartanah.

Kadar RPGT progresif antara sifar peratus hingga 30 peratus bergantung kepada tempoh pegangan hartanah.

Bagaimanapun, cukai keuntungan hartanah dikecualikan mulai 1 April, 2007.

RPGT dikecualikan pada 2007 bagi membantu sektor hartanah tetapi ada pihak menyatakan bahawa kelembapan ekonomi serantau dan global baru-baru ini bukanlah masa yang sesuai untuk melupuskan hartanah memandangkan harganya yang tidak menarik.

Kebimbangan para pemilik hartanah berkenaan berikutan cadangan baru-baru ini, ialah mereka perlu melupuskan harta masing-masing sebelum 1 Januari, 2010, pada harga harga yang kurang menarik, untuk terlepas daripada cukai 5.0 peratus itu.

BERNAMA

Dikirim Oleh D' rumah on Nov 6th, 2009 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2010 Drumah Media. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan pengurus web secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:

Tinggalkan ulasan anda