Kerajaan memberi jaminan semua permohonan pinjaman perniagaan diproses secara telus dan tidak seharusnya wujud halangan melalui sistem yang diamalkan dan dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanazdlah ketika memberi jaminan itu berkata pihak-pihak yang diberi amanah menguruskan pinjaman juga seharusnya mempermudahkan permohonan usahawan.
“Kita mengamalkan sistem yang telus dan saya tidak mahu wujud halangan daripada pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menyusahkan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat pasar Taman Ria di sini, Ahad.
Beliau yang diminta mengulas rungutan orang ramai mengenai terdapat bank yang hanya meluluskan pinjaman sekiranya pemohon melantik konsultan, berkata aduan mengenai perkara seperti itu hendaklah dibuat secara rasmi kepada BNM.
“Setiap aduan rasmi akan disiasat oleh BNM kerana tanpa aduan kerajaan tidak dapat bertindak untuk memperbetulkan sistem yang diamalkan,” kata Ahmad Husni.
Katanya usahawan yang sukar membayar balik pinjaman sekalipun boleh membawa masalah mereka kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang akan membantu menstruktur semula bayaran pinjaman mereka.
Menurut Ahmad Husni, pemohon boleh mengemukakan satu salinan permohonan kepada kementerian sebagai satu cara untuk menyemak permohonan mereka yang ditolak oleh bank.
Mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa ini, beliau berkata ia telah dibincang dan diteliti selepas mendapat maklum balas daripada badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta, pelabur asing dan rakyat.
– BERNAMA
Popularity: 1%