Masalah hartanah siap tetapi tidak dapat dijual di Sarawak akibat krisis ekonomi global masih terkawal dengan permintaan dijangka meningkat pada suku kedua tahun ini berikutan pelbagai langkah untuk merangsang ekonomi negara sedang rancak dijalankan pada masa ini.
Menteri Perumahan Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg berkata pada suku pertama tahun ini nilai hartanah siap tetapi tidak dapat dijual ialah RM260.76 juta, yang melibatkan 654 unit kediaman, 300 unit kedai dan 10 unit bangunan industri.
“Terdapat juga hartanah yang dalam pembinaan tetapi masih belum terjual, iaitu 1,411 unit kediaman dan 118 unit kedai,” katanya semasa merasmikan taklimat penghantaran data secara atas talian Sistem Maklumat Hartanah Malaysia (Prism) di sini Isnin.
Prism ialah program pengkomputeran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang dikendalikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, bagi membolehkan Napic berfungsi secara atas talian bagi pengumpulan data dan maklumat hartanah untuk kegunaan pembuat dasar serta industri berkaitan membuat keputusan hala tuju industri hartanah negara.
Napic yang telah membangunkan Prism pada kos RM23 juta, akan menguna pakainya mulai tahun depan
Bagi mengelakkan penawaran melebihi permintaan, Abang Johari berkata para pelabur di Sarawak diminta mendapatkan data terkini berkaitan hartanah bagi membolehkan keputusan tepat dibuat dan mengelakkan pembaziran.
“Saya dapati keadaan bekalan berlebihan melibatkan unit bangunan komersil dan industri ini boleh ditangani sekiranya pihak berkaitan berhubung dengan Napic bagi mendapatkan data dan maklumat,”katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, katanya kerajaan negeri tiada rancangan untuk memperkenalkan harga siling beberapa jenis rumah kediaman, kecuali projek perumahan kos rendah di Sarawak bagi mengelakkan ketidakpadanan bekalan dan permintaan di dalam industri perumahan.
“Biarlah kuasa kuasa pasaran menetapkan harga rumah di Sarawak,” katanya, sambil menyatakan harga rumah akan turun naik berdasarkan harga minyak dan bahan binaan.
– BERNAMA