LBI Capital Akan Lancar Tiga Projek Baru

SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) — Pemaju hartanah, LBI Capital Bhd, merancang melancarkan tiga projek baru membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM190 juta, di Lembah Klang tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya Kong Sau Kian berkata projek itu melibatkan pembinaan banglo berharga RM60 juta di Petaling Jaya, lot perindustrian di Puchong bernilai RM100 juta dan apartmen servis di Subang Jaya bernilai RM30 juta.

“Kami sedang mendapatkan kelulusan perlu daripada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini Jumaat.

Kong berkata LBI Capital akan teus mengenal pasti projek-projek baru bagi mengekalkan perolehan yang baik ketika keadaan ekonomi semasa yang lemah.

“Tahun ini dijangka mencabar memadangkan peningkatan ketara kos bahan binaan pad tahun lepas, yang akan terus menjejaskan margin keuntungan,” katanya yang menambah, kos komponen lain seperti keluli kekal tinggi dan menjejaskan perniagaan hartanah.

Bagaimanapun, kadar faedah yang rendah dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan akan membantu industri itu menangani impak kelembapan semasa, katanya.

LBI Capital merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.767 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2009, berbanding RM2.064 juta pada suku yang sama tahun lepas. Perolehan susut kepada RM19.017 juta berbanding RM19.613 juta sebelumnya.

Syarikat itu sedang membangunkan empat projek kediaman, dengan tiga daripadanya dijadual siap menjelang akhir tahun.

Mengenai bahagian pengilangan getah syarikat itu, Kong berkata perniagaan terus sukar dan margin terus mengalami tekanan akibat peningkatan kos bahan mentah serta saingan harga yang sengit.

Bahagian itu menyumbang kira-kira lima peratus kepada perolehan syarikat.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Jun 12th, 2009 dan difailkan dibawah Berita Harta, Projek Hartanah Terbaru. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda