Your search results

Lompang dalam model liberalisasi hartanah

Dikirim Oleh D' rumah on 29/02/2016
| 1

SEJAK liberalisasi hartanah diperkenalkan pada tahun 2009, lonjakan harga kediaman meningkat amat mendadak. Kini setelah enam tahun berlalu, walaupun pelbagai suntikan untuk meredakan kegilaan kenaikan harga, bayang untuk harga yang lebih ‘logik’ masih tidak kelihatan.

Jika diimbas semula, antara alasan untuk membuka sektor hartanah kepada pembeli dan pelabur asing adalah untuk mendapat timbal-balik kemasukan pelaburan asing dengan lebih banyak melalui ekspatriat-ekspatriat pelabur asing. Mereka ini melalui pengaruh besar, diharap dapat mengarahkan lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Sungguhpun peranan pelaburan langsung asing ke dalam pembangunan sesebuah negara telah banyak dipersetujui oleh ahli akademik, namun limpahan nikmat ini tidak dirasai oleh rakyat Malaysia dalam konteks pemilikan kediaman.

Bukankah sepatutnya jika model penarikan pelabur asing ke dalam Malaysia melalui liberalisasi hartanah itu tepat, seharusnya, manfaat pelaburan itu akan dimanifestasikan melalui lebih banyak pemilikan kediaman oleh rakyat?

Namun apa yang terjadi, langkah itu nyata mewujudkan situasi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Ternyata pada model liberalisasi tersebut terdapat lompang-lompang serius yang menyebabkan wujudnya ketidakadilan kepada rakyat Malaysia.

Lompang pertama dalam model liberalisasi tersebut adalah tentang bukti telus bagaimana polisi tersebut telah membawa pelaburan langsung yang banyak ke Malaysia? Apakah trend pelaburan langsung sejak dari 2009 dipengaruhi oleh polisi tersebut atau trend itu hanya berlanjutan dari faktor-faktor biasa (bukan polisi hartanah)?

Sekiranya trend pelaburan langsung asing sejak 2009 hanya mendapat tempias yang sedikit daripada pembukaan polisi hartanah yang lebih meluas, Malaysia hanya menjuruskan hartanahnya kepada orang luar tanpa timbal-balik yang setimpal kepada rakyatnya.

Lompang kedua adalah juga berkaitan keberkesanan liberalisasi hartanah ke atas pelaburan asing, tetapi lebih menjurus kepada sektor. Adakah jika benar, pelaburan langsung asing masuk ke Malaysia disebabkan liberalisasi hartanah, ke manakah pelaburan itu disalurkan?

Kita tidak mengetahui secara tepat sama ada polisi hartanah menyebabkan pelaburan asing ke dalam sektor tersebut juga meningkat dengan ketara, atau adakah polisi tersebut diambil sebagai batu loncatan untuk mengarahkan pelaburan ke sektor lain. Kita khuatiri polisi diambil sebagai satu medium untuk mengarahkan pelaburan ke sektor lain yang tidak signifikan sumbangannya kepada negara.

Lompang ketiga adalah berkaitan dengan jenis ekspatriat yang datang ke Malaysia. Liberalisasi hartanah di Malaysia telah dirancakkan seiring dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). Secara idealnya, insentif ini disediakan bukan sahaja untuk menyasarkan golongan warga emas dari negara luar tetapi juga ekspatriat yang mempunyai potensi untuk membantu melimpahkan minda kelas pertama mereka kepada negara. Namun begitu, perkara subjektif seperti ini amat sukar untuk dibuktikan melalui pengiraan.

Statistik di laman sesawang MM2H menunjukkan dari tahun 2002 hingga November 2015, peratusan mereka yang diluluskan kemasukan program MM2H adalah majoritinya dalam kalangan rakyat negara China (23.5 peratus) dan kedua ialah Jepun (13.3 peratus). Apa yang menarik perhatian adalah peratusan tinggi dari rakyat warga Bangladesh (10.9 peratus – kedudukan ketiga tertinggi).

Kita tidak mahu bersikap skeptikal dengan potensi warga Bangladesh yang berkemungkinan turut menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi kita juga tidak boleh menolak keraguan ke atas mereka dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berteraskan lebih intelektual dari fizikal.

Bukankah sepatutnya MM2H menarik lebih ramai ekspatriat dari negara-negara yang telah terbukti sumbangan mereka dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)? Bagaimana pula program MM2H telah secara signifikan membantu Malaysia dari segi penarikan lebih banyak pelaburan asing?

Lompang-lompang ini perlu diteliti secara serius oleh pihak berwajib sementelah tahun 2016 pula menampakkan sisi muram ekonomi dunia termasuk Malaysia. Di peringkat makro, potensi kemasukan tinggi pelaburan langsung asing dijangka tercalar. Di sudut mikro, harga rumah masih belum kelihatan berpihak kepada pembeli tempatan.

Beban tambahan yang bakal menanggung pembeli pula bertambah sementelah langkah-langkah penjimatan dan pemotongan kos (termasuk gaji) diambil oleh majikan dan perniagaan. Jika liberalisasi hartanah berterusan dalam musim gawat ini, kita khuatir pihak asing akan berterusan mengambil kesempatan ke atas hartanah Malaysia.

Akhirnya, dalam keadaan sedar tetapi tidak upaya, rakyat tempatan akan terus terpinggir sambil melihat orang asing memiliki tanah air ini.

DR. EMA IZATI ZULL KEPILI ialah pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia.

Sumber: UTUSAN

satu pendapat dalam “Lompang dalam model liberalisasi hartanah

  • pada 07/06/2016

    Pelaburan dari luar negara ke negara kita amat diperlukan untuk memastikan perkembangan ekonomi di rantau ini boleh diteruskan. Jadi kerajaan memainkan peranan yang penting untuk memastikan pemberian kemudahan yang diminta oleh syarikat luar negara dapat dipenuhi.

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.