Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd, kini sedang berbincang dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk melaksanakan projek di Lembah Klang dengan kedua-dua pihak sedang mengenal pasti kawasan tanah yang sesuai.
“Saya jangka kedua-dua syarikat akan mendapat manfaat serta menambah nilai,” kata Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Eksekutif, Tan Sri Leong Hoy Kum.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat di sini Jumaat.
PNB memiliki kepentingan besar dalam Mah Sing pada pertengahan Januari, menguasai kira-kira 31.4 juta saham atau 5.1 peratus.
Unit PNB, Skim Amanah Saham Bumiputera menjadi pemegang saham utama dalam Mah Sing Ogos lepas, dengan kira-kira 5.3 peratus atau 33.2 juta saham.
Pada 7 April, 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera menambah pemegangannya kepada 14.7 peratus atau 92.3 juta saham.
Leong juga berkata Mah Sing sehingga ini merekodkan jualan yang kukuh sebanyak RM317 juta, yang mewakili kira-kira 70 peratus sasaran jualan sepenuh tahun kumpulan sebanyak RM453 juta.
Beliau berkata Kuala Lumpur dan Lembah Klang terus menjadi peneraju jualan sehingga ini, menyumbang kira-kira 57 peratus daripada jumlah penuh dalam kedua-dua projek komersil dan kediaman.
“Selagi kami dapat mengekalkan prestasi tahun lepas dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, prestasi kami sudah baik,” katanya.
Leong berkata kumpulan itu mahu mengenal pasti kawasan tanah yang luas untuk dibangunkan dengan projek perumahan di Malaysia, dan pada masa yang sama meneroka peluang di luar negara seperti China dan Vietnam, yang mempunyai pertumbuhan penduduk yang tinggi.
Beliau berkata baki nilai pembangunan kasar dan jualan yang belum dibilkan kira-kira RM3.8 bilion sehingga 31 Mac, 2009, meletakkan kumpulan itu untuk potensi pendapatan antara lima hingga tujuh tahun.
Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2008, Mah Sing melaporkan peningkatan keuntungan 15 peratus selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM93.2 juta.
Keputusan suku pertama berakhir 31 Mac, 2009, juga kukuh dengan PATMI sebanyak RM22.6 juta hasil perolehan sebanyak RM150.3 juta berbanding RM22.3 juta dalam tempoh suku yang sama tahun lepas.
Pada AGM itu, lembaga pengarah Mah Sing meluluskan dividen pertama dan akhir sebanyak 16 peratus atau lapan sen bagi setiap saham biasa, ditolak cukai pendapatan sebanyak 25 peratus, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2008.
– BERNAMA
Popularity: 1%