Your search results

Melaka Sediakan Pinjaman Untuk Penjawat Awam Beli Rumah Kedua

Posted by D' rumah on 04/11/2010
| 2 Komen
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Kerajaan Negeri Melaka akan menyediakan pinjaman untuk penjawat awam di negeri itu membeli rumah kedua, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu Khamis.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pinjaman itu disediakan melalui tabung pinjaman perumahan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dan pembayaran balik pinjaman melalui potongan gaji.

“Ada kira-kira 4,000 pegawai kerajaan di Melaka, permohonan boleh dibuat mulai hari ini, sebelum ini mereka pinjam untuk membeli rumah melalui pinjaman daripada Tabung Perumahan Negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tahir Hasan (BN-Paya Rumput) pada persidangan DUN itu di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Mohd Ali berkata pinjaman itu adalah satu daripada dua pendekatan untuk menyelesaikan masalah hartanah kuota bumiputera yang belum dijual dan satu lagi pendekatan ialah menubuhkan agensi Hartanah Bumiputera.

Katanya agensi itu akan membeli hartanah kuota bumiputera yang belum dijual kemudian menyewa atau menjual atau sewa-beli kepada individu bumiputera dan agensi kerajaan lain dengan kadar faedah kira-kira empat peratus.

Beliau berkata kerajaan negeri memerlukan RM137 juta untuk pembelian keseluruhan lambakan hartanah kuota bumiputera di Melaka pada masa ini dan daripada jumlah itu sebanyak RM82 juta diperlukan segera untuk pembelian hartanah yang terlalu lama terbiar.

“Kita sudah mohon pinjaman bank RM80 juta dan bank bersedia beri pinjaman 90 peratus dengan kadar faedah lima peratus, pinjaman ini diberi berperingkat dan harap kita mula dapat pinjaman itu minggu depan,” katanya ketika menjawab soalan asal Goh Leong San (DAP-Kesidang).

Mohd Ali berkata sejak ditubuhkan pada 2000 hingga September lepas, Tabung Pelepasan Rumah Sekatan Kuota Bumiputera menerima lebih RM13.62 juta daripada 150 penyumbang dan telah menggunakan lebih RM4 juta daripada tabung itu untuk membeli hartanah kuota bumiputera.

Kerajaan negeri hanya akan membeli rumah kuota bumiputera untuk tujuan itu apabila rumah itu siap lebih 80 peratus atau telah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF), katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata lebih 38 peratus kawasan di negeri itu mempunyai liputan internet tanpa wayar antaranya jenis WiFi yang dibangunkan oleh kerajaan negeri sendiri dan jalur lebar tanpa wayar oleh syarikat telekomunikasi swasta.

“Syarikat telekomunikasi negara TM telah membina 800 tapak di Melaka untuk kemudahan ini tetapi itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat Melaka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (BN-Ayer Keroh).

Beliau berkata program kerjasama telah diadakan antara Jabatan K-Ekonomi, Mimos Berhad dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, untuk membangunkan WiFi generasi baru dikenali WiWi dan program ini mensasarkan pembangunan 40 tapak WiWi di sekitar Melaka.

Menjawab soalan asal Datuk Ab Rahaman Ab Karim (BN-Pantai Kundor), Mohd Ali berkata kerajaan negeri telah memohon peruntukan untuk membangunkan pekan-pekan kecil melalui Rancangan Malaysia Ke-10 tetapi laporan kelulusan peruntukan itu belum diterima kerajaan negeri.

Beliau juga berkata penyelengaraan dan pembinaan jalan raya baru di kawasan pekan kecil dan perumahan tidak dapat dijalankan dengan sempurna kerana kerajaan negeri tidak memperoleh peruntukan yang mencukupi.

“Saya kecewa ada juga peruntukan pembangunan pekan-pekan baru ini sudah diumumkan kerajaan pusat tetapi kita masih tidak dapat, saya harap pegawai kanan kementerian yang terlibat datang sendiri ke Melaka untuk menilai keperluan kita di sini,” katanya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad kemudiannya menangguhkan persidangan empat hari itu kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

– BERNAMA

2 thoughts on “Melaka Sediakan Pinjaman Untuk Penjawat Awam Beli Rumah Kedua

  • Mohd Zarith bin Zainal
    on 23/08/2011

    Saya adalah pekerja kontrak yang bekerja di Jabatan kerajaan di Melaka. Adakah saya layak memohon pinjaman perumahan dari tabung pinjaman perumahan kerajaan Melaka.

  • abd.rashid bin ahmad
    on 14/10/2012

    saya pekerja kilang.harap yab datuk mohd ali rustam jgn lupa pada yang bekerja swasta.gaji kami bwh 1500.harap dapat membantu umtuk membeli rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <strong> <em> <pre> <code> <a href="" title="">