Your search results

MENEGAKKAN KESAKSAMAAN

Dikirim Oleh terkini on 30/12/2014
| 1

Sayu dan sebak menatap gambar-gambar bencana banjir yang sedang melanda negara kita. Lebih sayu menatap gambar-gambar rumah mangsa-mangsa banjir yang rosak teruk seperti dilanda tsunami kecil. Tiada siapa yang dapat menjangkakan banjir yang melanda kali ini begitu dahsyat sekali dalam sejarah Malaysia moden.

Banyak pengajaran yang boleh diambil ekoran bencana banjir yang berlaku. Apa yang penting, permudahkan segala bantuan kepada mangsa-mangsa banjir selain memperbaiki kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis dalam menghadapi senario banjir.

Kita semua mempunyai peranan masing-masing dalam membantu mangsa banjir. Usahlah terlalu mudah menyebarkan berita palsu dan fitnah yang mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan kerja-kerja bantuan pihak berkuasa. Bersikaplah sebagai seorang yang berakhlak baik dalam sebuah negara yang menuju ke arah negara maju.

Tiada sikit pun manfaat daripada berita-berita fitnah, palsu dan adu domba kecuali boleh menjerumus diri seseorang mendapat dosa ke­ring.

Di saat negara dilanda banjir, dilaporkan bahawa pesawat QZ8501 milik Air Asia Indonesia yang menuju ke Singapura dari Surabaya hilang dari radar menutup tirai tahun 2014. Sebelum ini, tiada siapa yang dapat melupakan dua tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17. Kedua-duanya adalah episod duka yang sudah tentu menjadi lipatan sejarah Malaysia. Setiap tragedi dan bencana yang berlaku pada tahun ini sungguh menginsafkan kita.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia moden tragedi-tragedi besar yang menggemparkan seluruh dunia sebagaimana yang berlaku pada tahun ini. Namun, inilah yang dikatakan takdir yang wajib diterima oleh kita sebagai makhluk yang lemah di sisi Allah SWT. Apa yang penting, tragedi-tragedi yang telah dan sedang berlaku ini mendekatkan diri kita kepada Allah SWT Yang Maha Esa. Eloklah selepas ini dihentikan sahaja segala aktiviti hiburan tidak bermoral.

Bukan setakat konsert menyambut tahun baharu 2015. Usahlah hanya ketika musibah dan bencana berlaku baharulah aktiviti-aktiviti hiburan yang merosakkan akhlak ini dihentikan. Apabila ia merosakkan akhlak sudah tentulah ia merupakan aktiviti yang melampaui batas.

Melampaui batas pula sinonim dengan perkataan ekstrem. Acapkali pada masa kini, kita mendengar dan membaca istilah ekstrem dan ekstremis. Malang sekali, apabila ada pihak yang menggelar pihak lain ekstremis sedangkan mereka sendiri pun berideologi kebaratan bersifat liberal dan sekular.

Mereka ini mungkin tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham bahawa sekular itu menyimpang sama sekali daripada ajaran agama Islam. Jauh sekali maksudnya berbanding istilah kesederhanaan dalam erti kata sebenar ajaran agama Islam. Sekular itu sendiri mengasingkan agama dalam kehidupan seharian. Ini adalah perbuatan manusia yang melampaui batas.

Kenapa perlu mengagung-agung­kan ideologi barat yang te­rang-terangan salah mengikut aja­ran agama Islam? Malang juga kerana yang berjuang untuk mempertahankan ideologi sebegini ialah mereka yang dikategorikan sebagai golongan elit. Banyak lagi perkara yang sewajarnya diperjuangkan.

Cuba turun ke bawah, lihat sendiri apa yang berlaku. Usah setakat memerhatikan keadaan masyarakat dari puncak keelitan yang berpaksikan kemewahan. Ramai lagi rakyat yang susah dan mereka ini perlu dibantu. Dalam konteks banjir yang sedang me­landa negara pun kita boleh lihat seterang-terangnya mereka yang mengalami kesusahan. Kenapa tidak mahu memperjuangkan nasib mereka?

Malang juga mereka yang berideologi kebaratan mengalahkan orang barat itu sendiri terlalu taksub dengan agenda hak asasi individu. Kesaksamaan di­se­lewengkan men­­jadi kesamarataan.

Kesaksamaan bersifat keadilan, manakala kesamarataan tidak tentu adil. Misalnya, adakah adil golongan kaya diberikan bantuan wang ringgit sebagaimana orang susah atas landasan ingin menyamaratakan bantuan?

Kenapa golongan elit ini tidak berjuang untuk mengurangkan jurang kekayaan dalam kalangan rakyat Malaysia? Tidakkah itu lebih diutamakan kerana jurang kekayaan yang melebar boleh memberi impak yang besar terhadap pelbagai permasalahan sosial rakyat?

Mereka yang kononnya menjadi pejuang hak asasi individu, liberal dan sekular ini kelihatan seolah-olah mewakili suara rakyat Malaysia. Benarkah begitu atau digembar-gemburkan atas sokongan dan promosi yang keterlaluan dan ekstrem oleh segelintir media yang mudah difahami agenda tersirat dan tersurat mereka.

Beralaskan perjuangan kesederhanaan, mereka ini sengaja tidak nampak betapa berlaku kepincangan ekonomi apabila hartanah dan perniagaan dikuasai oleh segelintir pihak sahaja. Kalau benar-benar ingin menegakkan kesederhanaan, keadilan adalah tunjangnya.

Jadi, dalam hal ini, kesaksamaan untuk semua golongan rakyat menguasai kekayaan dan ekonomi negara. Itu baharulah dikatakan adil dan saksama. Tetapi apa yang berlaku dan jelas kelihatan, berprinsipkan satu lagi ideologi barat iaitu kapitalis, yang kaya bertambah kaya.

Lihatlah di bandar-bandar besar di negara kita, kawasan perumahan mewah yang dikuasai oleh segelintir kapitalis yang terlalu kaya dikelilingi oleh majoriti perumahan kos rendah. Tidakkah situasi sebegini juga bersifat ekstrem. Sekali lagi, ideologi barat jelas pincang dan memudaratkan masyarakat. Jadi, kenapakah masih ingin menegakkan benang yang basah yang memudaratkan rakyat Malaysia?

Itu belum lagi melibatkan per­soalan kenapa dalam proses pe­ngambilan pekerja di sektor swasta terdapat banyak tindakan yang jelas menggambarkan ketidakadilan. Peluang untuk mendapat pekerjaan jelas sekali dikuasai oleh segelintir pihak meskipun calon-calon lain juga mempunyai merit yang sama. Itu belum menyentuh mengenai gaji yang jelas berbeza dan syarat bahasa tertentu untuk pengambilan pekerja yang jelas mengamalkan diskriminasi.

Mana perginya pejuang-pe­juang hak asasi manusia yang bercirikan liberal dan sekular untuk menentang penganiayaan dan kezaliman ini? Tidakkah itu hak yang wajib diberikan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira siapa mereka? Justeru, kembalilah berjuang pada landasan yang betul seperti menegakkan keadilan dan kesaksamaan ekonomi agar tidak menganiaya orang lain bahkan Insya-Allah boleh memberi kesejahteraan kepada rak­yat Malaysia.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Sumber: UTUSAN

oleh: ROHAMI SHAFIE

satu pendapat dalam “MENEGAKKAN KESAKSAMAAN

  • pada 22/01/2015

    banjir yang paling teruk kali ni di kelantan…sedih sangat bila ada NGO nak bagi bantuan tak dibenarkan sedangkan masa tu mangsa-mangsa banjir betul2 terdesak perlukan bantuan.

    Semoga banjir kali ni menjadi pengajaran buat semua rakyat Malaysia..Bila berlaku banjir tolak ideologi politik, yang penting bantu mangsa banjir tu..

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.