Mohon Peruntukan Baru SME Bank Bangunkan Program Usahawan Dipertimbang

sme-bank-malaysiaJPGKerajaan sedang menimbang permohonan peruntukan baharu dari Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi melaksanakan dan membangunkan Program Skim Kilang SME Bank (SKB).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata kementeriannya melalui SME Bank memberikan keutamaan kepada program keusahawanan seumpama itu bagi memantapkan lagi peranan usahawan Bumiputera perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan negara.

“Kementerian sedar bahawa program yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dalam bidang keusahawanan adalah seperti program SKB dan ia patut diberikan pertimbangan sewajarnya untuk peruntukan di bawah RMK1O, yang dijangka dibentangkan di Parlimen Jun ini.

“Setakat ini, kerajaan memperuntukkan RM334.76 juta bagi menjayakan program SKB di seluruh negara. Peruntukan ini bermula dalam RMK-4 dan ia terus disediakan dalam setiap RMK iaitu hingga RMK-9 yang sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Permuafakatan Peserta Program SKB di sini Selasa.

Bagaimana pun, Mukhriz berkata beliau tidak dapat mendedahkan jumlah peruntukan yang dipohon SME Bank sebab kerajaan masih dalam proses membincang RMK-10.

Semasa berucap sebelum itu, Mukhriz berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan PKS, yang merangkumi 99 peratus daripada jumlah perniagaan yang berdaftar di Malaysia.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) Ke-10 meluluskan cadangan bagi merangka Pelan Induk PKS (2011-2020) yang bertujuan meningkatkan peranan PKS dalam model ekonomi baharu,” katanya.

Beliau juga berkata sumbangan PKS kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 37 peratus pada tahun ini berbanding 32 peratus yang dicapai pada tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata kementerian akan memantau perkembangan produk keluaran China di negara ini bagi memastikan kualitinya menepati spesifikasi yang ditetapkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau Sirim Bhd (Sirim).

Beliau turut menasihati usahawan tempatan agar mempertingkat kualiti produk keluaran masing-masing untuk mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar terutamanya dari China.

Sementara itu, Pengerusi SME Bank Datuk Gumuri Hussain berkata kajian menunjukkan bahawa keuntungan yang diperolehi peserta program SKB meningkat 88.1 peratus berbanding peningkatan tenaga kerja (47.6 peratus) dan peningkatan modal berbayar (21.4 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan produktiviti dan nilai tambah di Kompleks Kilang SME Bank berikutan peningkatan jualan dan keuntungan jauh lebih tinggi dari peningkatan tenaga kerja dan modal berbayar,” katanya.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mac 9th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Bank Malaysia, Perbankan. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



1 Ulasan Dari “Mohon Peruntukan Baru SME Bank Bangunkan Program Usahawan Dipertimbang”

  1. c-mi berkata:

    peluang baik pada mereka yang punyai kilang. ramai usahawan kita perlukan kilang dgn lokasi strategik. tunggu pengumuman rmk-10


Tinggalkan ulasan anda