KUALA LUMPUR, 4 Nov – Sesetengah langkah yang termasuk pengenaan semula cukai keuntungan hartanah (RPGT) kemungkinan dipertimbangkan semula, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
“Kami akan terus memantau perkara ini sama ada sesetengah langkah itu memberikan kesan yang betul atau sebaliknya. kami akan mengumpulkan kesemua maklum balas dan jika perlu dilakukan penyelarasan, kita akan lihat nanti,” kata Mukriz.
Beliau diminta mengulas mengenai kaji selidik oleh laman web hartanah, Thinkproperty.my, bahawa pengenalan mengejut RPTG dilihat memberi kesan terhadap keyakinan pasaran.
Bulan lepas, Indeks Tinjauan Hartanah meningkat daripada 49 peratus pada permulaan bulan itu kepada paras paling tinggi 68 peratus sehingga malam sebelum pengenalan semula cukai itu.
Selepas pengumuman itu, indeks itu menurun kepada 56 peratus pada akhir bulan.
Kaji selidik itu dilakukan bagi mendapatkan pendangan para peserta mengenai tinjauan pasaran hartanah Malaysia bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Mengenai kemungkinan dilakukan kajian semula cukai itu, Mukhriz berkata, “pada masa ini, ia (RPGT) akan kekal tetapi kami akan menimbangkannya semula, terutama selepas kami mendapat maklum balas dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain mengenai perkara ini.”
Mukhriz ditemui oleh para pemberita selepas merasmikan seminar bertajuk “Fundamental Globalisasi dan Liberalisasi – Kesannya Terhadap Perniagaan dan Industri Hartanah.”
– BERNAMA
Popularity: 1%