NGO Minta SPRM Siasat Penyelewengan Dalam Pembahagian Rumah Kos Rendah Di PJ

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Isnin meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pembahagian rumah kos rendah kepada golongan yang berpendapatan rendah di Petaling Jaya.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berharap SPRM membuat siasatan lanjut terhadap perkara itu kerana setiap projek pembangunan perlu dipantau agensi kerajaan itu.

“Eloklah kalau SPRM siasat… biar mereka (pemaju) takut. Dalam mesyuarat mana-mana sekalipun, wakil daripada SPRM patut diletakkan bagi mengawasi perjalanan sesuatu projek,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai 500 pekerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang diperuntukkan flat kos rendah di bandar raya itu sedangkan mereka merupakan golongan berkemampuan dan tidak layak memiliki rumah tersebut.

Nadzim berkata perbuatan itu juga jika tidak segera ditangani akan menggagalkan usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat harmoni di negara ini.

“Pihak pemaju sepatutnya prihatin terhadap nasib golongan berpendapatan rendah dan perbuatan itu jelas merupakan satu penganiayaan terhadap harapan mereka untuk memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau menyarankan supaya supaya agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad mengambil alih projek rumah kos rendah supaya nasib golongan berpendapatan rendah tidak diabaikan.

Sementara itu, Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) Profesor Datuk Hamdan Adnan berkata SPRM perlu bertindak dalam hal ini kerana mungkin wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam pengagihan rumah kos rendah itu.

“Jika mereka tahu mereka tidak layak, mengapa mereka turut memohon. Ini jelas merupakan salah guna kuasa oleh pemaju. Mereka sepatutnya memikirkan nasib golongan bawahan dan bukannya mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangan kerana sekiranya perkara itu gagal diambil tindakan segera, ia bukan sahaja akan menjejaskan nama kerajaan tempatan dan kerajaan negeri, malahan kerajaan pusat.

Sementara itu, Presiden Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Datuk Ng Seing Liong kecewa kerana terdapat pemaju yang membenarkan golongan yang tidak layak untuk memiliki rumah kos rendah.

“Penggerak industri telah bekerja keras selama bertahun-tahun dengan melakukan subsidi silang bagi membangunkan rumah mampu milik ke arah mencapai agenda sosial negara.

“Kami telah melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh kerajaan selama bertahun-tahun di sebalik peningkatan kos… hanya kemudiannya mendapati penjawat awam membuat keuntungan dengan menggunakan sistem ini demi kepentingan diri,” katanya.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Mei 25th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda