OCBC Bank Malaysia Bhd mencatatkan kenaikan enam peratus keuntungan operasi kepada RM998 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009 berbanding RM942 juta tahun sebelumnya.
“Walaupun 2009 merupakan tahun yang sukar kerana kesan krisis kewangan global, kami gembira untuk mencatatkan prestasi yang kukuh, berlandaskan rangka taja jamin kredit yang seimbang.
“Kami sukacita dengan pertumbuhan menyeluruh dalam pendapatan faedah bersih yang diperolehi daripada pertumbuhan pinjaman bersih pelbagai industri,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC, Jeffrey Chew dalam satu kenyataan Rabu.
Keuntungan bersih bagi tahun 2009 menyusut satu peratus kepada RM608 juta daripada RM617 juta tahun sebelumnya ekoran peruntukan pinjaman bersih yang lebih tinggi.
Jumlah pendapatan untuk tahun kewangan 2009 meningkat empat peratus kepada RM1.6 bilion, dipacu oleh pertumbuhan empat peratus dalam pendapatan faedah bersih kepada RM1.0 bilion dengan lonjakan 27 peratus dalam pendapatan perbankan Islam kepada RM144 juta.
Jumlah pinjaman berkembang lima peratus kepada RM32.6 juta berikutan pinjaman yang meningkat kepada perusahaan kecil dan sederhana, pelanggan korporat besar dan pinjaman gadai janji yang lebih tinggi.
Pinjaman tidak berbayar (NPL) naik 17 peratus kepada RM1.2 bilion, dengan nisbah NPL menambah daripada 1.99 peratus kepada 2.42 peratus.
Peningkatan NPL pada tahun ini terutamanya daripada pinjaman perniagaan.
– BERNAMA
Popularity: 1%