Paradigma Intan Rancang Lebih Banyak Projek Pembangunan Komersil

Neo Damansara

Neo Damansara

PETALING JAYA, 21 Ogos — Pemaju hartanah Paradigma Intan Sdn Bhd, anak syarikat kumpulan Emkay, bercadang melancarkan projek pembangunan komersil di NeoDamansara, Damansara Perdana, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM587 juta.

Projek-projek ini berpusat di Wan’s Avenue yang terletak di kawasan seluas 3.054 hektar (7.635 ekar), terdiri daripada 1,087 unit pejabat kedai hak milik strata, bilik pameran, menara pejabat dan suite serta plaza makanan dan minuman, kata pengerusi kumpulan Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

“Pembangunan itu akan dibahagikan kepada tiga peringkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian projek Wan’s Avenue oleh Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Roslan Sakiman di sini pada hari Jumaat.

Mustapha Kamal berkata fasa pertama projek dengan GDV RM140 juta telahpun 100 peratus dijual dan diserahkan, melibatkan 14 unit pejabat kedai en-bloc serta 70 unit rumah kedai dan bangunan 12 tingkat dengan 84 unit rumah kedai, emper, pejabat dan kedai runcit yang akan siap Disember ini.

Beliau berkata yang fasa kedua terdiri daripada blok menara 347 unit apartmen perkhidmatan dengan anggaran GDV RM270 juta.

Di bawah fasa tiga pula ialah menara pejabat korporat dan bangunan lapan tingkat terdiri daripada bilik pameran dan ruang pameran perdagangan dan pusat hiburan dengan GDV RM177 juta.

Mengenai tinjauan pasaran, Mustapha Kamal berkata kumpulan kekal yakin dengan industri hartanah tempatan memandangkan pasaran kini sedang menghala ke arah pemulihan.

“Sentimen untuk hartanah telah pulih sejak beberapa bulan ini. Kami turut menyaksikan pemulihan dalam jumlah jualan kumpulan,” kata beliau.

Kumpulan pada masa ini mempunyai simpanan tanah seluas 3,200 hektar (8,000 ekar) yang mencukupi untuk perniagaan hartanahnya bagi tempoh 10 tahun akan datang, kata Mustapha Kamal.

Ia juga bercadang untuk membina kompleks pejabat korporat meliputi kawasan seluas 9.2 hektar di Damansara Perdana tidak lama lagi, kata beliau.

Sejak 26 tahun lepas, kumpulan mempunyai GDV terkumpul bernilai RM11.7 bilion dengan projek-projek di Damansara Perdana dan Cyberjaya, tambah beliau.

– BERNAMA

Popularity: 1%


Dikirim Oleh on Ogo 22nd, 2009 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Reaksi atau komen ditutup, tetapi anda boleh menjejak balik dari web anda.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Komen ditutup