Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan yang berhadapan dengan kos kenaikan harga barang binaan turut berhadapan dengan kelewatan kerajaan negeri meluluskan status tanah dan sistem penjualan bersyarat yang dikenakan.
Pengerusi Rehda Kelantan, Sekarnor Che Omar berkata selain lambat mendapat kelulusan permohonan status tanah bagi membina rumah, pihaknya juga menghadapi masalah pasaran setelah kerajaan negeri mensyaratkan rakyat Kelantan sahaja boleh membeli rumah di negeri ini.
“Ini masalah besar yang kita hadapi sekarang, sekiranya masalah ini tidak berlaku masalah projek tergendala juga tidak berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai melahirkan rasa dukacita ahli-ahlinya dengan syarat ketat kerajaan negeri dalam meluluskan tanah, harga pasaran dan kenaikan harga bahan binaan.
Sekarnor berkata setiap projek perumahan yang hendak dibuat diberi masa dua tahun untuk siap sedangkan dalam tempoh itu pengusaha berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan terutama simen dan besi.
“Pemaju juga berhadapan dengan kesukaran mendapat kelulusan tanah untuk masa yang singkat dan pekerja binaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu beliau menyarankan kerajaan negeri mempertimbangkan kembali syarat yang ditetapkan termasuk kelulusan tanah yang sekarang ini mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.
“Kalau syarat itu dapat dipertimbangkan, kebimbangan pemaju dalam memajukan industri hartanah di Kelantan tidak berlaku dan orang ramai dapat memiliki rumah sendiri dengan harga lebih rendah,” katanya.
Sementara itu pihaknya akan menganjurkan Pameran Hartanah Malaysia bagi menjual 1,500 unit rumah pelbagai jenis yang telah siap dan dalam pembinaan kepada orang Kelantan dan dari luar Kelantan selama empat hari, bermula 12 Mac di kompleks membeli-belah KB Mall.
– BERNAMA