Pemaju Harapkan Insentif Bina Rumah Kos Rendah Dalam Bajet Baharu

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah

Pemaju harus diberikan insentif untuk membina rumah kos rendah dalam Bajet 2011 akan datang untuk memenuhi permintaan.

Semasa membuat saranan itu, Ketua Pegawai Operasi Hua Yang Bhd, Ho Wen Yan, berkata perkara itu harus dikaji dengan serius untuk menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Bagi bajet akan datang, saya rasa tujuan utama kerajaan ialah memberi faedah kepada rakyat miskin, jadi, rumah mampu milik harus diberikan sedikit insentif.

“Insentif harus diberikan bagi membantu pemaju menghasilkan rumah kos rendah dan mampu milik,” kata Ho kepada Bernama.

Pada masa ini, kata Ho, insentif tiada sasaran khusus.

“Jadi, agar kumpulan rakyat yang betul menerima faedahnya, insentif kepada pemaju haruslah lebih berbentuk sasaran khusus,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan membentangkan Bajet 2011 pada 15 Oktober, 2010.

Satu siri pertemuan kumpulan fokus sedang dianjurkan olej Kementerian Kewangan bagi tujuan mengumpul input bagi bajet itu.

Pertemuan itu menyediakan forum bagi kumpulan-kumpulan tertentu dari indutri, persatuan, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membuat cadangan bagi pertimbangan kerajaan.

Menyentuh tentang Hua Yang sebagai sebuah syarikat pemaju harta, Ho berkata syarikat itu telah berusaha sejak 30 tahun lalu untuk membina reputasi dalam penyediaan perumahan awam mampu milik, yang berkualiti dan dibina dengan keprihatinan terhadap persekitaran.

“Walaupun kebanyakan pemaju telah beralih kepada projek-projek mewah dan mahal, termasuk pembangunan di luar negara, kami akan terus memberikan tumpuan kepada usaha menyediakan rumah mampu milik bagi segmen pendapatan sederhana,” katanya.

Hua Yang kini beroperasi di Perak, Lembah Klang dan Johor. Projek utamanya di Lembah Klang ialah One South di kawasan Seri Kembangan dan Symphony Heights di Selayang.

Projek-projeknya yang lain termasuklah pembangunan perbandaran bercampur Bandar University Seri Iskandar dan Metro Pengkalan di Perak, dan Taman Pulai Indah di Skudai, Johor.

– BERNAMA

Popularity: 3%


Dikirim Oleh on Ogo 11th, 2010 dan difailkan dibawah Berita Harta, Hartanah Hari ini. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons, atau menjejak balik daripada tapak web anda. HakCipta terpelihara © 2009 - 2011 Drumah Homely Publication Sdn. Bhd.. Semua bahan berbentuk artikel dan gambar tidak dibenarkan untuk disalin, dicetak, diubahsuai, diterbitkan semula tanpa mendapat persetujuan Syarikat Penerbitan secara bertulis.

Artikel berkaitan dari topik menarik ini:



Tinggalkan ulasan anda