Your search results

Pembangunan Kampung Baru Berdasarkan Nisbah 60:40 Belum Muktamad

Dikirim Oleh D' rumah on 02/06/2010
| 0
Kampung Baru

Kampung Baru

Cadangan membangunkan hartanah di Kampung Baru berdasarkan nisbah 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera belum muktamad selagi tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Kerajaan akan mendengar serta menerima maklum balas daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Pemilik tanah Kampung Baru tidak perlu risau. Apa yang kami bentangkan pada Sabtu lalu adalah baru permulaan untuk mendapatkan persetujuan dan maklum balas daripada pemilik sendiri,” katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Sabtu lalu, satu majlis perjumpaan dengan pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi membincangkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, yang merupakan antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.

Raja Nong Chik berkata kerajaan memberi jaminan kepentingan dan hak orang Melayu tetap dijaga dan diberi keutamaan walaupun masyarakat bukan Melayu bakal diberikan kuota 40 peratus untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan apabila projek pembangunan Kampung Baru dilaksanakan kelak.

“Nisbah yang dicadangkan itu bertujuan memaksimumkan nilai hartanah di Kampung Baru khususnya apabila syarikat korporat bukan Melayu dan syarikat asing turut sama-sama melabur dalam pembangunan yang kita rancang.

“Ini sekaligus akan memberikan pulangan lebih tinggi kepada pemilik tanah Kampung Baru yang sama-sama turut melabur dalam pembangunan ini,” katanya.

Raja Nong Chik berkata sebarang pendapat, maklum balas serta pertanyaan boleh menghubungi talian 03-88891411 atau e-mel kepadanya di rnc@kwp.gov.my.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.