Oleh Neville D’Cruz
Pelaburan asing dalam harta Australia telah mendorong kenaikan harga rumah dan memaksa pembeli Australia keluar dari pasaran, kata jurucakap perumahan pembangkang Australia Kevin Andrews.
Perubahan kepada undang-undang pelaburan asing oleh Canberra untuk membenarkan pembeli asing membeli harta di Australia telah menyebabkan masalah, Andrews dilaporkan berkata oleh Australian Associate Press.
Selepas menemui wakil industri perumahan dan hartanah di Perth pada Rabu, adalah jelas bahawa bilangan rakyat asing yang membeli harta semakin meningkat, katanya.
“Saya telah menemui wakil-wakil lain di Australia dan mendapati ternyata di Perth, Sydney dan Melbourne serta di lain-lain tempat di Australia, ramai pembeli asing telah membeli harta perumahan di bandaraya Australia semenjak beberapa bulan kebelakangan ini,” kata Andrews kepada pemberita di Perth.
“Saya diberitahu hari ini bahawa terdapat kejadian di mana satu keluarga membeli beberapa buah rumah dengan menggunakan nama anggota keluarga yang berlainan dalam setiap kontrak.
“Ini telah mendorong peningkatan harga di mana rakyat Australia yang ingin membeli rumah mendapati semakin sukar untuk berbuat demikian.”
Dalam beberapa kes, rumah-rumah yang dibeli atas tujuan pelaburan dibiarkan kosong, kata Andrew.
“Itu sangat tidak sesuai. Ini terjadi kerana kerajaan Rudd telah meminda undang-undang pada April lepas dan ekspoitasi terhadap perubahan ini telah menyusahkan ramai rakyat Australia,” katanya.
– BERNAMA
Popularity: 1%