JOHOR BAHARU, 27 April (Bernama) — Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata penstrukturan semula MIDF dan mewujudkan sebuah syarikat Kumpulan Hartanah PNB, kini hampir selesai.
Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata kedua-dua syarikat terbabit akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa yang sesuai.
“PNB telah hampir selesai menjalankan penstrukturan semula MIDF, hasil daripada penggabungan dan pengambilalihan Amanah Capital Partners, yang akan menjadikan MIDF sebuah bank pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di Plaza Angsana hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir ialah Presiden serta Ketua Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Mengenai syarikat Kumpulan Hartanah PNB, Ahmad Sarji berkata ia adalah hasil penggabungan dan pengambilalihan syarikat-syarikat I&P, Pelangi dan Petaling Garden.
“Syarikat ini merupakan syarikat hartanah terbesar yang memiliki 7,200 hektar tanah untuk dimajukan dengan projek perumahan dan komersil, katanya.
Ahmad Sarji berkata PNB telah dan akan terus berusaha meningkatkan nilai pemegang saham dan menambah pendapatannya menerusi penggabungan dan pengambilalihan syarikat-syarikat pelaburannya.
Ia adalah selaras dengan salah satu petunjuk prestasi utama syarikat (KPI) untuk “menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta” PNB yang sedia ada, katanya.
– BERNAMA
Popularity: 1%