Your search results

Pertumbuhan Setengah Tahun Kedua Mungkin Menguncup Kepada Empat Peratus, Kata Kenanga

Dikirim Oleh D' rumah on 04/06/2010
| 0

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Pertumbuhan setengah tahun Malaysia bagi 2010 mungkin akan menguncup kepada empat peratus atas kebimbangan bahawa faktor luaran, seperti krisis hutang euro, akan memberi kesan kepada eksport negara.

Kenanga Research berkata sungguhpun negara mencatatkan pertumbuhan cemerlang pada suku pertama 2010, momentum itu semakin perlahan apabila kesan asas yang lebih rendah, yang menyokong kitaran sekarang, akan berkurangan perlahan-lahan.

“Apabila kesan asas dan kesan rangsangan kewangan berkurangan, ujian sebenar kepada pertumbuhan mampan adalah pada setengah tahun kedua 2010.

“Lonjakan pertumbuhan Malaysia untuk keluaran eksport dan perkilangan kekal bergantung kepada prospek permintaan akhir daripada ekonomi-ekonomi utama,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ia berkata sungguhpun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar diunjurkan untuk meningkat kepada 8.6 peratus pada setengah pertama tahun ini, ia dijangka menguncup kepada empat peratus pada setengah kedua 2010.

Unjuran KDNK untuk tahun ini adalah 6.3 peratus, katanya.

Kenanga berkata selain permintaan Kesatuan Eropah (EU) yang dijangka lemah, pemulihan ekonomi AS juga tidak memberangsangkan, katanya menambah bahawa Malaysia mengeksport kira-kira 11 peratus produknya ke AS dan EU pada 2009.

“Digabungkan dengan eksport tidak langsung ke AS (melalui Singapura dan China) serta negara-negara Eropah lain termasuk UK dan Bloc Timur, ia mungkin melebihi 30 peratus eksport keseluruhan Malaysia,” katanya.

Ia berkata pertumbuhan KDNK sebenar, yang diunjurkan pada 5.9 peratus pada 2011, dijangka menerima impak bukan sahaja oleh permintaan luar yang merosot, tetapi juga isu-isu dalaman seperti cadangan reformasi subsidi dan usul cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mungkin memberi kesan negatif kepada sentimen dan permintaan domestik.

“Bagaimanapun, bagi setiap RM1 bilion yang dijimatkan berikutan pengurangan subsidi, defisit boleh dikurangkan sebanyak 0.1-0.2 peratus.

“Oleh itu, ini akan mengurangkan defisit kewangan kepada 5.7 peratus daripada KDNK pada 2010, satu semakan semula unjuran awal syarikat iaitu 6.3 peratus dan defisit tujuh peratus tahun lepas,” katanya.

Kenanga berkata, sementara pengurangan subsidi akan membantu meningkatkan dana untuk digunakan ke arah menambahbaik perkhidmatan dan prasarana adatu pembangunan modal insan, kerajaan juga perlu mengembangkan asas perolehannya akbiat pendapatan yang berkurangan daripada cukai tradisional sebelum ini.

“Sungguhpun kerajaan telah menangguhkan perlaksanaan GST kepada selepas 2011, kami berpendapat penangguhan akan memberi kesan negatif kepada rancangannya untuk menukarkan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Ia menambah bahawa asas perolehan yang lebih luas hasil daripada GST akan membantu mengurangkan jurang defisit kewangan.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.