Your search results

Pinjaman 110 Peratus Untuk Pembeli Rumah PR1MA

Dikirim Oleh terkini on 24/11/2014
| 2 Ulasan

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tawaran pinjaman sebanyak 110 peratus akan dipanjangkan kepada pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) daripada institusi-institusi kewangan terpilih.

Perdana Menteri berkata ini sebagai kelangsungan daripada usaha kerajaan bagi membantu rakyat berkaitan projek perumahan itu.

“Pembiayaan ini supaya semua pembeli mampu memiliki rumah, manakala 10 peratus lebihan pembiayaan adalah bagi menampung kos tambahan seperti guaman dan insurans.

“Juga, Skim Pembiayaan Sewa-Beli atau ‘rent-to-own’ turut ditawarkan sebagai bantuan kepada golongan pertengahan memiliki rumah,” katanya dalam entri terbaru beliau di blog Najib.razak.com malam ini.

Najib dalam pembentangan Bajet 2015 bertemakan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Parlimen pada Oktober lepas mengumumkan kerajaan akan menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan melalui pembinaan 80,000 unit rumah di bawah PR1MA dengan peruntukan RM1.3 bilion.

Langkah itu, katanya bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah dan had kelayakan pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.

Dalam pembentangan itu, Najib berkata Skim Pembiayaan Sewa Beli akan diperkenalkan khusus kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah PR1MA dalam masa lima tahun, dan setakat ini, program PR1MA telah meliputi kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Labuan.

Antara komuniti PR1MA yang dalam perancangan ialah di Wilayah Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak membabitkan rumah berharga dari RM118,000 ke RM335,000.

Kawasan itu termasuklah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur (RM275,000); Tebrau, Johor (RM180,000); Kuala Ketil, Kedah (RM215,000); Sandakan, Sabah (RM280,000) dan Kuching, Sarawak (RM235,000).

Najib menarik perhatian langkah-langkah permohonan untuk rumah PR1MA amat mudah dan menggesa kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan supaya mendaftarkan permohonan dengan mengunjungi laman rasmi www.pr1ma.my.

Pemohon boleh mengetahui lebih lanjut mengenai syarat kelayakan serta langkah mudah untuk memohon melalui infografik yang disertakan di dalam blog itu.

— BERNAMA

2 pendapat dalam “Pinjaman 110 Peratus Untuk Pembeli Rumah PR1MA

  • pada 04/10/2016

    Saya single mother yg mempunyai 3 org ank.. Perlukn bantu kilat.. Sya perlukan rumah PPR ingin sewa dn beli.. Buat mase ini sya hanya swe bilik sahaja sbln rm300.. Diharapkn permohonan sya diterima secepat mungkin.. Kerana tahun 2017 ank ank sya 3 org bersekolah..

  • pada 04/10/2016

    Bagaimanakah cara untuk berurusan dengan pihak rumah PRIMA untuk memohon dn ingin membuat rayuan.. Ank ank sya berumo 7 thn..6 thn & 4 thn.. Sya perlukan saving yg amat banyak..

Tinggalkan Balasan

Email anda tidak akan diterbitkan.