Prospek sektor hartanah tahun ini adalah positif, jika diambil kira prestasi yang lebih sihat ekonomi domestik dan kestabilan seterusnya ekonomi luar, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Wira Chor Chee Heung.
Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, katanya bilangan keseluruhan transaksi hartanah ialah 91,979 yang bernilai RM25.294 bilion berbanding dengan 79,024 transaksi bernilai RM16.922 bilion pada suku pertama 2009.
Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan prestasi sederhana pada tahun lepas, dengan sejumlah 337,859 transaksi bernilai RM80.997 bilion berbanding dengan 340,240 transaksi bernilai RM88.34 bilion pada 2008, katanya kepada pemberita selepas melancarkan penerbitan Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Harta di sini pada Jumaat.
Antara penerbitan itu ialah Laporan Pasaran Hartanah 2009, Laporan Status Pasaran Harta Tanah Suku Keempat Tahun 2009, Laporan Stok Harta Tanah Suku Keempat Tahun 2009 dan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia Suku Ketiga-Keempat 2009.
“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah di bawah bajet baru-baru ini seperti untuk merangsang dan menggalakkan pasaran hartanah dan mewujudkan juga keperluan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.
Chor berkata, dengan adanya paras tinggi FDI, permintaan bagi mendapatkan perumahan, pejabat dan ruang runcit dari segi jualan dan perolehan akan turut meningkat.
Menjawab soalan mengenai Amanah Harta Tanah Islam (I-REITS), katanya kerajaan telah mendapatkan bantuan agensi kerajaan yang lain untuk mengawasi REIT Islam.
“Kita telah mulai melihat banyak pelabur, terutama dari Rantau Teluk untuk melabur ke dalam REIT,” katanya.
Semasa berucap sebelum itu, Chor berkata pelbagai usaha telah diperkenal untuk menambah daya tarikan REIT seperti penurunan cukai ke atas dividen REIT dan langkah liberalisasi yang diumum pada April tahun lepas.
Pelancaran garis panduan untuk Pelaburan Harta Tanah Islam (I-REIT) oleh Suruhanjaya Sekuriti pada Ogos tahun lepas pula menyokong penubuhan REIT yang menepati syariah, katanya.
“Oleh itu, saya yakin pelabur runcit akan merebut peluang untuk melabur di dalam REIT. Saya menjangka dalam tempoh jangka sederhana, bilangan REIT yang tersenarai di Bursa Malaysia akan bertambah daripada 13 yang sedia ada,” katanya.
Pada tahun lepas, subsektor harta kediaman kekal mendominasi pasaran merangkumi 62.6 peratus bilangan pindah milik dan 51.7 peratus nilai pindah milik.
Menurutnya, dalam pasaran utama, pemaju telah melancarkan 45,909 unit kediaman berbanding 48,830 unit pada 2008.
Katanya Selangor mendahului negeri-negeri lain dalam pelancaran kediaman baharu dengan 8,430 unit diikuti oleh Johor dengan 7,099 unit.
Sementara itu, jumlah unit kediaman siap dibina tidak terjual turun 13.2 peratus kepada 22,592 unit berbanding 26,029 unit pada 2008 manakala pada subsektor industri, unit siap dibina tidak terjual turun 4.3 peratus kepada 641 unit berbanding 670 unit pada 2008.
Bagaimana pun, harta tidak terjual pada subsektor kedai meningkat 10.2 peratus kepada 5,265 unit berbanding 4,776 unit pada 2008.
Chor berkata pada subsektor pejabat dan kompleks perniagaan, prestasi kekal teguh pada tahun 2009 selaras dengan peningkatan Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) dan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang melepasi paras 100 mata menjelang penghujung tahun.
Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia pula menunjukkan indeks harga semua rumah bagi negara meningkat 1.5 peratus iaitu 131.8 mata berbanding 129.8 mata pada 2008, katanya.
– BERNAMA
Popularity: 1%